SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Hasil pelaksanaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, dua individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berkaitan penyelewengan bahan api diesel.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari dalam satu kenyataan berkata tertuduh pertama iaitu lelaki berusia 58 tahun yang juga pemilik sebuah syarikat pemborong bahan api, berdepan dua pertuduhan.
Beliau berkata bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membeli 2,000 liter minyak diesel daripada pihak yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran bertulis untuk menjual bahan api tersebut pada 9.28 malam, 24 April lepas di sebuah premis di Panasuria, Shah Alam.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal menyelenggara buku stok barang berjadual iaitu minyak diesel, termasuk tidak merekodkan butiran pembelian atau penjualan seperti tarikh, kuantiti, harga serta maklumat penjual atau pembeli.
Sementara itu, Muhamad Hanif berkata tertuduh kedua, lelaki berusia 28 tahun yang merupakan pemandu lori didakwa atas pertuduhan memiliki dalam kawalannya kira-kira 4,000 liter diesel di dalam sebuah lori tangki tanpa kebenaran sah di lokasi dan waktu yang sama.
“Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta mereka juga diarahkan melapor diri di Pejabat KPDN Shah Alam sekali setiap bulan.
“KPDN Selangor di bawah komitmen penguatkuasaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu)-Kempen Kita Gempur amat komited mempergiat penguatkuasaan dan tindakan bagi memastikan pematuhan perundangan yang dikuatkuasakan dipatuhi dan pada masa yang sama kepentingan awam diselia secara rapi,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah etika dalam urus niaga boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak KPDN melalui saluran aplikasi Whatsapp 019-848 8000, Ez Adu KPDN, talian hotline KPDN 1-800-886-800 dan portal e-aduan kementerian.
-- BERNAMA