Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) 2026, bermula 28 Mei hingga 28 Jun ini.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL Ismadi Sakirin berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 45 acara merangkumi konsert, persembahan poket, bengkel, forum dan karnival akan diadakan di pelbagai lokasi ikonik sekitar ibu negara.
“Lebih 2,000 peserta akan terlibat termasuk orkestra dari Thailand, Jepun, Singapura, Filipina dan China, selain kumpulan tempatan seperti Orkestra Kuala Lumpur, Kuala Lumpur Youth Orchestra, Malaysian Philharmonic Youth Orchestra dan Orkestra RTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata FOKL edisi ketiga itu akan turut diserikan dengan kolaborasi khas bersama-sama Yogyakarta Royal Orchestra dari Indonesia yang akan dipersembahkan secara dalam talian menerusi YouTube, sekali gus membuka ruang perkongsian seni ke peringkat lebih luas.
Ismadi berkata selain persembahan, FOKL 2026 juga memberi fokus kepada pembangunan bakat muda melalui bengkel, sesi uji bakat dan program latihan seni persembahan.
Beliau berkata festival itu menjadi antara platform penting dalam mengangkat Kuala Lumpur sebagai bandar raya seni, budaya dan kreativiti bertaraf antarabangsa, selain memperkukuh kedudukan selaku ahli UNESCO Creative Cities Network yang menekankan peranan seni dan kreativiti dalam pembangunan bandar.
-- BERNAMA