SUKAN

Al-Rawabdeh Ketepikan Sementara Impian Piala Dunia, Fokus Bantu Selangor FC

29/04/2026 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pemain tengah Selangor FC Noor Al-Rawabdeh memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejayaan kelab ketika pasukan itu bersedia menghadapi cabaran separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).

Pemain antarabangsa Jordan berusia 29 tahun itu berkata meskipun mewakili negaranya di Piala Dunia FIFA 2026 kekal sebagai impian besar, fokus semasanya adalah membantu Selangor mara lebih jauh dalam kejohanan kelab utama Asia Tenggara itu.

Selangor akan menentang kelab Vietnam, Nam Định FC dalam aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 6 Mei dan di Stadium Thiên Trường pada 13 Mei dengan tempat ke final menjadi rebutan.

“Beraksi di Piala Dunia amat bermakna bagi saya. Ia adalah impian setiap pemain untuk mewakili negara di pentas itu.

“Namun ketika ini, fokus saya adalah memberikan persembahan terbaik setiap hari, membantu Selangor dalam Kejuaraan ACC dan melakukan yang terbaik untuk membanggakan kelab serta negara saya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Al-Rawabdeh yang telah mencatat lebih 50 penampilan bersama pasukan kebangsaan Jordan turut menjadi tonggak penting ketika membantu negaranya mara ke final Piala Asia AFC 2023, sebelum Jordan mencipta sejarah layak ke Piala Dunia 2026.

Beliau dijangka disenaraikan dalam skuad kendalian Jamal Sellami ke kejohanan di Amerika Syarikat itu, yang menyaksikan Jordan berada dalam kumpulan bersama juara bertahan Argentina, Algeria dan Austria.

Piala Dunia dijadual bermula 11 Jun hingga 19 Julai.

Sementara itu, Selangor mara ke separuh akhir selepas menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan A di belakang kelab Thailand, Buriram United FC berdasarkan perbezaan gol, dengan rekod dua kemenangan dan tiga seri.

Al-Rawabdeh dijangka memainkan peranan penting ketika Gergasi Merah kendalian Kim Pan Gon memburu penampilan pertama ke pentas final kejohanan tersebut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2551044