AM

KPKT Peruntuk RM1.8 Juta Atasi Banjir Kilat Di DUN Ayer Keroh

30/04/2026 08:02 PM

MELAKA, 30 April (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta tahun lepas bagi menaik taraf sistem perparitan di beberapa kawasan hotspot banjir yang telah dikenal pasti, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Kerk Chee Yee berkata peruntukan khas itu bagi melaksanakan kerja naik taraf longkang utama, sekali gus mengurangkan kekerapan banjir yang sebelum ini sering berlaku.

"Kira-kira 15 hotspot banjir kilat di kawasan DUN Ayer Keroh dikenal pasti dan setiap kali hujan lebat, kawasan itu akan dilanda banjir dengan kekerapan lima hingga enam kali setahun.

"Kini kekerapan itu menunjukkan penurunan ketara hasil pelaksanaan pelbagai projek menerusi peruntukan berkenaan untuk mengatasi isu banjir kilat di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kempen Kebersihan dan Baik Pulih Rumah di Sungai Putat, di sini hari ini.

Terdahulu program bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Keroh itu disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin, dan turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron.

Kerk berkata selain peruntukan KPKT, antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Putat yang dijangka siap pada 2027, termasuk pembinaan kolam takungan, naik taraf sistem perparitan dan rumah pam.

Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 50 program komuniti telah dilaksanakan sepanjang WRUR DUN Ayer Keroh, dengan kira-kira 100 aduan diterima melibatkan isu tempatan seperti longkang, jalan dan pokok.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan untuk menyelesaikan aduan bersifat segera dalam tempoh terdekat, manakala cadangan jangka panjang memerlukan penelitian lanjut sebelum dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2551502