AM

3,000 Pengunjung Meriahkan Perasmian 'Lumut Navy City Parade'

01/05/2026 01:49 PM

LUMUT, 1 Mei (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan menyempurnakan perasmian ‘Lumut Navy City Parade’ bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-92, yang berlangsung di Dataran Lumut, di sini hari ini.

Keberangkatan baginda pada 9 pagi itu turut diiringi Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta Panglima Armada Barat TLDM Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor.

Kira-kira 3,000 pengunjung memeriahkan acara yang julung kali diadakan selepas pengisytiharan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim pada 2009.

Acara dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Staf Masjid, Pusat Pembangunan Kerohanian, Markas Pangkalan TLDM Leftenan Muda Mohd Soleh Din.

Persembahan pembukaan oleh Badan Kesenian TLDM menyerikan lagi acara menerusi Tarian Seri Dabus Labu Indera yang melambangkan kesenian tradisi Melayu Perak.

Sambutan diteruskan dengan acara perarakan masuk 21 kontinjen terdiri daripada TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), persatuan belia tempatan dan sebagainya.

Acara turut dimeriahkan dengan lintas hormat aset maritim milik TLDM dan APMM yang menjadi tulang belakang kepada keupayaan pertahanan serta penguatkuasaan di sepanjang perairan negara kemudian mengambil alih dataran.

Antara aset yang mengambil bahagian ialah KD Laksamana Hang Nadim, KD Ledang, KD Kinabalu, KM Gagah, ‘Fast Interceptor Craft’ (FIC) dan ‘Fast Combat Boat’. 

Selain perarakan, sambutan yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mei itu turut diserikan dengan penganjuran Hari Terbuka Armada 2026 di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan TLDM Lumut, yang memberi pengunjung peluang untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai aset serta peranan TLDM.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2551689