AM

Kes Tikam 61 Kali: Mangsa Selamat Dikebumikan, Keluarga Mohon Beri Ruang Bertenang

02/05/2026 03:37 PM

KUALA KANGSAR, 2 Mei (Bernama) -- Ahli keluarga penuntut kolej perempuan berusia 19 tahun yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, Kelantan semalam, meminta mereka diberikan ruang untuk bertenang susulan kejadian tragis itu.

Tinjauan di kediaman keluarga mangsa di Kampung Batu Jarau di sini mendapati keadaan sunyi dan hanya ahli keluarga terdekat difahamkan berada di situ.

“Kami mahukan privasi, mohon beri (ruang) bertenang sebab kami penat dan tidak tidur seharian sejak semalam,” kata bapa saudara mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, jenazah Nurfisya Zulkifly selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang dekat sini pada 5.30 pagi. 

Jenazah dibawa pulang selepas proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan selesai malam tadi.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan penemuan mayat mangsa di jalan berhampiran sawah Kampung Simah, Ketereh yang dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di situ. 

Abang mangsa Mohd Faris Zulkifly, 21, berkata mereka sekeluarga ke Kelantan pada Sabtu lepas bagi menghantar arwah memulakan semester baharu di sebuah institusi pendidikan sebelum menerima berita tragis itu pada tengah hari semalam.

Susulan kejadian itu, empat suspek terdiri daripada tiga lelaki berusia 19 hingga 66 tahun dan seorang wanita 60 tahun ditahan reman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2551966