POLITIK

Misi 100 Tahun, UMNO Perlu Lahirkan Generasi Melayu Kukuh Pegangan Islam - Ahmad Zahid

03/05/2026 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu parti itu melahirkan generasi Melayu yang kukuh pegangan Islam menjelang ulang tahun ke-100 penubuhannya, dalam tempoh 20 tahun lagi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan sesebuah perjuangan parti tidak hanya diukur pada kekuatan institusi tetapi juga pada kualiti manusia yang dibentuk untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Saya mengimpikan Melayu yang tidak luntur jiwa keislamannya, benar-benar memahami rukun agama, tidak terpisah daripada jasad dan rohnya. Saya mengimpikan anak-anak Melayu yang kental jati dirinya, yang menjaga maruah, yang tinggi adab dan mulia akhlaknya.

“Saya mengimpikan Melayu yang menjadi pencipta, mencipta idea, mencipta nilai dan pemangkin kemajuan nusa dan bangsa,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kepimpinan tertinggi parti itu.

Dalam tempoh dua dekad akan datang, Ahmad Zahid menggariskan lima perkara yang perlu dititikberatkan oleh UMNO, termasuk memperkasa dakwah bagi memelihara akidah, menegakkan syariah dan memuliakan akhlak.

“Kedua, menjadi induk kestabilan politik negara. Ketiga, menjadi talent factory (kilang bakat) yang melahirkan cendekiawan, pakar pelbagai bidang dan intelektual berkemahiran yang menguasai teknologi masa depan.

"Keempat, menyatukan fikrah kepimpinan bangsa Melayu dan kelima, menyuburkan budaya ilmu dan tafaqquh untuk merencana dasar dan membentuk kefahaman umat,” katanya.

Justeru, beliau berkata UMNO mesti dipersiapkan dengan teras yang kemas supaya generasi masa hadapan dapat menjadikannya sebagai landasan kukuh untuk berbakti dan berkhidmat.

“Semua ini bukan berkisar tentang memenangkan pilihan raya semata-mata tetapi untuk melahirkan pewaris bangsa yang penuh roh dan jiwa kemelayuannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kekuatan UMNO hari ini masih bertunjangkan akar umbi dan kesetiaan ahlinya yang terus menjadi tunjang kepada peranan parti dalam mencorak negara.

Beliau bagaimanapun berkata parti itu perlu berani mengakui kesilapan lepas dan memperbaiki serta melakukan pembaharuan bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli.

“Saya tidak menjanjikan jalan yang mudah. Saya juga tidak menjanjikan perjuangan ini akan bebas daripada ujian dan pancaroba.

“… tetapi apa yang saya boleh janjikan, selagi saya diberikan kepercayaan, saya akan terus berkorban demi meneruskan legasi perjuangan ini yang dibina dengan jiwa yang luhur dan ikhlas selama lapan dasawarsa (dekad)," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2552107