DUNIA

AS Luluskan Kemungkinan Jualan Sistem Senjata Apkws Kepada Israel

02/05/2026 08:01 PM

WASHINGTON, 2 Mei (Bernama-Anadolu) -- Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat memaklumkan bahawa ia meluluskan kemungkinan penjualan Advanced Precision Kill Weapon System (APKWS) dan peralatan berkaitan kepada Israel, lapor Anadolu Ajansi.

Jumlah kos keseluruhan dianggarkan sebanyak US$992.4 juta, menurut kenyataan itu.

“Cadangan penjualan ini akan meningkatkan keupayaan Israel untuk menangani ancaman semasa dan masa depan, memperkukuh pertahanan tanah airnya serta bertindak sebagai pencegah terhadap ancaman serantau. Israel tidak akan menghadapi kesukaran untuk menyerap aset dan perkhidmatan ini ke dalam angkatan tenteranya,” menurut kenyataan itu.

Kontraktor utama ialah BAE Systems yang berpangkalan di negeri New Hampshire, AS.

AS sejak sekian lama dikritik kerana memberikan sokongan kepada Israel dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza yang disifatkan sebagai genosid, yang telah mengorbankan lebih 72,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak Oktober 2023. Gencatan senjata dicapai pada Oktober 2025, namun pelanggaran kerap dilaporkan berlaku.

Beberapa penggubal undang-undang AS menuntut supaya negara itu menghentikan bekalan senjata kepada Israel dan menuduhnya bersubahat dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Sementara itu, Jabatan Negara AS turut meluluskan kemungkinan jualan perkhidmatan penambahan semula Patriot Air and Missile Defence serta peralatan berkaitan kepada Qatar bernilai US$4.01 bilion.

Ia juga meluluskan kemungkinan penjualan APKWS kepada Qatar bernilai US$992 juta dan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) bernilai US$147.6 juta.

Secara berasingan, ia meluluskan kemungkinan penjualan Integrated Battle Command System kepada Kuwait bernilai US$2.5 bilion.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2552113