BUENOS AIRES, 2 Mei (Bernama-dpa) -- Bekas presiden Brazil Jair Bolsonaro dimasukkan semula ke hospital di ibu negara Brasilia untuk menjalani pembedahan bahu, menurut portal berita G1 pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bekas pemimpin berusia 71 tahun itu, yang kini menjalani hukuman penjara lebih 27 tahun kerana cubaan rampasan kuasa, menerima kebenaran khas daripada Mahkamah Persekutuan Agung untuk pemindahan berkenaan.
Bolsonaro kini menjalani hukumannya di bawah tahanan rumah berikutan komplikasi kesihatan berterusan.
Walaupun Bolsonaro berdepan beberapa masalah kesihatan akibat insiden tikaman semasa kempen pilihan raya 2018, pegawai memaklumkan prosedur semasa itu berkaitan dengan kejadian terjatuh pada Januari yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan bahu.
Beliau sebelum ini dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru pada Mac dan pernah ditempatkan di unit rawatan rapi.
Bolsonaro berada dalam tahanan sejak November tahun lalu selepas disabitkan bersalah kerana berkomplot dengan pihak lain untuk merancang rampasan kuasa terhadap kerajaan penggantinya, Luiz Inacio Lula da Silva.
Namun, tempoh pemenjaraannya mungkin akan dikurangkan tidak lama lagi.
Pada Khamis, Kongres Brazil mengetepikan veto Presiden Lula dengan mengekalkan undang-undang yang membolehkan pengiraan semula tempoh hukumannya.
-- BERNAMA-dpa