SUKAN

Menang TKO: Petinju Maghribi Mohamed Amine, Tepati Ramalan Rangkul Kejuaraan MIMAC 3.0

03/05/2026 09:31 AM

TAIPING, 3 Mei (Bernama) -- Petinju Muay Thai dari Maghribi Mohamed Amine Tijani, menepati ramalan apabila mencatat kemenangan technical knockout (TKO) ke atas wakil Malaysia Mohamad Abid Kamil, dalam aksi kategori profesional 62 kilogram (kg) pada Malaysia International Muay Championship 2026 (MIMAC 3.0) di Dataran Warisan di sini, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Mohamed Amine merangkul tali pinggang tajaan Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh, dalam pertarungan yang didominasi atlet berkenaan sebelum dihentikan pengadil susulan kecederaan menimpa Mohamad Abid pada pusingan kedua.

Dalam satu lagi pertarungan profesional kategori bawah 47kg, petinju wanita negara Bellatrix Dhea muncul juara, selepas menewaskan wakil Thailand Seang Daw dalam pertarungan tiga pusingan.

Kejayaan itu membolehkan Bellatrix yang berasal dari Selangor, merangkul tali pinggang Sang Saka Biru Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mempamerkan aksi bertenaga dan konsisten sepanjang tiga pusingan pertarungan.

Kedua-dua perlawanan disaksikan Wong bersama kira-kira 500 peminat dalam kalangan masyarakat setempat, wakil persatuan serta kelab Muay Thai tempatan dan antarabangsa.

Wong dalam ucapan perasmiannya berkata penyertaan lebih 300 atlet dalam dan luar negara, membuktikan MIMAC 3.0 semakin mendapat perhatian banyak pihak, selain menjadi platform kompetitif kepada petinju tempatan serta luar negara bersaing.

Beliau berkata kejohanan itu secara tidak langsung memberi impak positif kepada pembangunan sukan Muay Thai negara, khususnya dalam melahirkan lebih ramai atlet muda berkaliber.

“Dengan sokongan yang diterima, kita komited untuk meneruskan penganjuran MIMAC sebagai acara tahunan, agar ia terus berkembang dan menjadi antara kejohanan sukan tempur utama di negara ini.

“Penganjuran berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti sukan, malah turut merangsang aktiviti ekonomi setempat khususnya kepada peniaga kecil di kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Tomoi Perak Mohd Ezry Azamin Abdul Wahab berkata pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran, kerana fokus utama ialah memberi pendedahan kepada atlet muda merasai aksi sebenar kejohanan.

“Pendedahan di pentas seperti ini amat penting kerana ia membantu membentuk keyakinan, disiplin dan mental atlet muda sebelum mereka melangkah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2552165