JENAYAH & MAHKAMAH

Bapa Maut, Dua Anak Cedera Kemalangan Tiga Kenderaan Di LPT2

03/05/2026 09:42 AM

CHUKAI, 3 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala dua anak perempuannya cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 290 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata kejadian berlaku pada 6.33 petang dan Rosli Yusuf, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dalaman badan.

Beliau berkata anak mangsa Auni Ukhratan Basyirah, 15, dan Iliya Markisa Qurrata Aini, 23, cedera ringan pada anggota badan dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah treler membawa muatan bata, kenderaan pikap jenis Mitsubishi Triton dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

“Kemalangan berlaku apabila treler di lorong kiri dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kenderaan pikap dipandu mangsa di lorong kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Razi berkata kemalangan menyebabkan dua kenderaan itu melanggar besi penghadang jalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

Pada masa sama, beliau berkata SUV dari arah bertentangan gagal mengelak dan melanggar bahagian kiri kenderaan pikap manakala treler terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter.

Beliau berkata mangsa yang bekerja sebagai penolong juruteknik dalam perjalanan dari Melaka ke Kampung Payoh, Kemaman.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2552166