AM

JMKU Ringan Beban Kos Sara Hidup, Rancak Perniagaan Koperasi Dan Usahawan

03/05/2026 01:24 PM

BUTTERWORTH, 3 Mei (Bernama) -- Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) merupakan inisiatif kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat selain merancakkan aktiviti perniagaan koperasi serta usahawan tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata program itu menawarkan barangan keperluan asas pada harga 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran dengan penglibatan pelbagai koperasi, agensi dan peniaga kecil.

Beliau berkata program JMKU hari ini yang dilaksanakan bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Phee Syn Tze ialah siri ketiga di Pulau Pinang selepas Bukit Mertajam dan Bertam, melibatkan kerjasama agensi seperti Suruhanjaya Koperasi serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd.

“Fokus utama program ialah membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras, tepung, bahan pencuci, ayam, daging, telur dan minyak masak pada harga lebih murah selain membuka peluang kepada koperasi serta usahawan menjana pendapatan. 

“Diskaun tambahan turut diberikan menerusi promosi happy hour dari 11 pagi hingga 12 tengah hari sekali gus meningkatkan lagi penjimatan kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program itu di sini hari ini.

Sim berkata pada program itu, ayam yang dijual pada harga pasaran kira-kira RM15 seekor dijual RM12 dan diturunkan kepada RM10 semasa happy hour

Antara barangan keperluan yang mendapat sambutan ialah barangan kering seperti beras, sabun, minyak masak, gula, kicap, susu, sardin dan tepung gandum manakala barangan basah segar termasuk ayam, daging, ikan dan udang.

Sim berkata penganjuran program itu akan diteruskan sepanjang tahun ini tertakluk kepada peruntukan dan kemampuan kewangan memandangkan harga yang ditawarkan bersubsidi.

Beliau berharap program seperti itu dapat diperluas ke lebih banyak kawasan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sementara itu, ADUN Sungai Puyu Phee Syn Tze berkata program itu turut menjadi platform kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan maklumat serta akses kepada pembiayaan melalui agensi berkaitan.

“Selain membantu pengguna, program ini memberi peluang kepada pemain PKS untuk berhubung dengan agensi seperti KUSKOP bagi mendapatkan maklumat mengenai pembiayaan dan sokongan perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2552228