Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 4 Mei (Bernama) -- Perbadanan Labuan (LC) sedang mempergiat usaha untuk mengambil bahagian secara langsung dalam usaha niaga permodalan aset, sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk mencapai kemampanan kewangan jangka panjang dan mengurangkan kebergantungan kepada geran kerajaan.
Pengerusinya Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh berkata inisiatif itu akan mengoptimumkan nilai aset sedia ada LC dengan mentransformasikannya kepada usaha niaga yang menjana pendapatan, di samping mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk komuniti setempat.
“Kami sedang bergerak ke arah model ekonomi yang lebih mampan yang mana LC tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan persekutuan. Permodalan aset membolehkan kami memanfaatkan potensi nilai aset yang sedia ada dan melaburkannya semula ke dalam usaha niaga yang berdaya maju,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sejajar dengan hala tuju ini, Husni berkata LC sedang dalam proses menubuhkan Invest Labuan, sebuah entiti khusus untuk menerajui aktiviti pelaburan sebagai cabang komersialnya.
“Invest Labuan akan menerajui usaha mengenal pasti, menstruktur dan mengurus pelaburan strategik, termasuk bekerjasama dengan pemain-pemain sektor swasta.
“Ini adalah penting dalam memastikan usaha niaga kami diurus secara profesional dan menghasilkan pulangan yang konsisten,” tambah beliau.
Beliau berkata langkah itu juga sejajar dengan usaha untuk meletakkan Labuan sebagai hab ekonomi yang berdaya saing dengan memanfaatkan lokasi strategiknya, sektor perkhidmatan kewangan yang mantap dan industri logistik serta maritim yang sedang berkembang.
Bidang yang sedang diterokai merangkumi pembangunan hartanah, perkhidmatan berkaitan pelabuhan, logistik, infrastruktur pelancongan dan projek tenaga boleh baharu yang dilihat mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan berulang.
Husni berkata dengan mengguna pakai pendekatan yang lebih berorientasikan perniagaan, LC menyasarkan untuk memperkukuh kedudukan kewangannya, sekali gus membolehkan ia melabur semula dalam infrastruktur awam, pembangunan bandar dan program komuniti.
“Pada akhirnya, ini adalah mengenai usaha mewujudkan ekosistem yang mampan kendiri di mana pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan, kemudahan yang ditambah baik dan persekitaran perniagaan yang lebih rancak,” katanya.
LC akan terus bekerjasama rapat dengan agensi persekutuan dan negeri serta pihak berkepentingan industri bagi memastikan inisiatif pelaburan selaras dengan matlamat pembangunan negara dan membuahkan hasil untuk jangka panjang.
-- BERNAMA