AM

Fahmi Ucap Takziah Atas Pemergian Jalil Hamid

04/05/2026 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pemergian pelakon veteran Jalil Hamid sebagai kehilangan sebutir lagi permata industri seni tanah air.

Beliau berkata segala jasa, bakti dan sumbangan Allahyarham akan sentiasa dikenang.

“Saudara Jalil Hamid merupakan seorang seniman yang tidak asing dalam dunia lakonan dan nyanyian sejak lebih empat dekad lalu.

“Beliau merupakan penghibur yang unik dengan gaya dan bakat tersendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai serta rakan seperjuangan Allahyarham.

“Semoga mereka diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan ini. Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian pelakon veteran itu sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni negara.

Beliau berkata jasa dan sumbangan Jalil sepanjang penglibatannya dalam dunia seni akan terus dikenang oleh masyarakat.

“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada industri seni negara yang telah lama menikmati bakat dan sumbangan beliau.

“Jasa dan kenangan yang ditinggalkan pasti akan terus hidup dalam ingatan kita semua,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mohamad turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

Jalil atau nama sebenarnya Abd Jalil Abd Hamid meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada 12.30 tengah hari tadi pada usia 69 tahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2552665