KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Dua sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di India dan Amerika Syarikat (AS) tumpas dalam serbuan berasingan di sebuah kondominium mewah di ibu negara, akhir bulan lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata menerusi serbuan pada 23 April itu, sebanyak 22 individu termasuk warga tempatan, Taiwan, Pakistan dan India ditahan kerana disyaki terlibat dengan penipuan “Macau Scam”.
Beliau berkata sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pihak berkuasa negara India dan mendakwa mangsa terbabit dalam jenayah penyebaran kandungan berunsur hasutan.
"Paling mengejutkan, sindiket ini turut menggunakan pakaian seragam 'Delhi Police' dengan tanda nama 'Inspektor Sunil Kumar'. Pakaian ini digunakan suspek ketika membuat panggilan video untuk mewujudkan ketakutan dan panik kepada mangsa di negara berkenaan.
"Mereka turut dibekalkan senarai nombor mangsa dan menggunakan 12 skrip khas dalam pelbagai bahasa termasuk Tamil, sebelum memperdaya mangsa untuk membuat bayaran bagi menyelesaikan siasatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Rusdi berkata dalam serbuan kedua yang dijalankan keesokan harinya, polis menahan 13 individu warga tempatan, China, Myanmar dan Vietnam yang dipercayai menjalankan aktiviti penipuan “Love Scam” dengan menyasarkan warga AS.
Beliau berkata sindiket itu menggunakan aplikasi profil palsu seperti PIGSMS bagi membina hubungan peribadi dengan mangsa sebelum beralih ke aplikasi WhatsApp dan Telegram untuk meminta wang.
"Memandangkan mangsa adalah warga AS, kita juga akan berkongsi maklumat dan bekerjasama dengan pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.
Beliau turut mendedahkan kedua-dua sindiket menjadikan unit kondominium mewah dengan nilai sewaan RM3,000 ke atas dan mempunyai kawalan keselamatan yang ketat sebagai pusat panggilan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Mereka masuk ke dalam kondominium, makan dan tidur di situ tanpa keluar bagi meminimumkan pergerakan. Kadang-kadang jiran di sebelah rumah pun tidak sedar kehadiran mereka," katanya.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dengan lapan tangkapan warga asing melibatkan kes love scam dituduh di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan.
Rusdi berkata bagi mengekang jenayah rentas sempadan JSJK sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak polis dan kedutaan luar negara bagi berkongsi data tangkapan.
-- BERNAMA