AM

Pesta Pantun HAWANA 2026 Angkat Martabat Bahasa, Uji Kreativiti Pengamal Media

06/05/2026 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 bukan sekadar medan persaingan berbalas pantun, malah menjadi platform menguji kreativiti, ketangkasan berfikir serta penguasaan bahasa dalam kalangan pengamal media sambil mengangkat seni warisan bangsa ke pentas lebih luas.

Ketua Juri Pesta Pantun HAWANA-DBP Azimin Daud berkata pengamal media mempunyai kelebihan tersendiri dalam pertandingan itu, memandangkan tuntutan kerjaya mereka yang sentiasa terdedah kepada pelbagai bidang ilmu, selain memiliki perbendaharaan kata yang luas hasil daripada pembacaan dan kajian berterusan.

“Jadi inilah istimewanya apabila peranan ini dipraktikkan dalam pertandingan pantun. Ia bukan sahaja menguji kreativiti tetapi juga keupayaan berfikir pengamal media secara spontan dan kritis,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Mengulas aspek penilaian, Azimin yang juga Perancang Bahasa DBP berkata juri akan memberi tumpuan kepada ketepatan bahasa, isi dan logik penyampaian, dengan komponen bahasa dan isi menyumbang 80 markah, manakala persembahan sebanyak 20 markah.

Beliau berkata pantun bukan sekadar permainan kata atau mencari rima, sebaliknya menuntut ketepatan makna, logik dan kefahaman terhadap setiap bait yang dilafazkan.

Sementara itu, Jurupantun Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 Ahmad Fedtri Yahya berkata elemen spontan menjadi kekuatan utama pertandingan, namun pada masa yang sama menuntut peserta mengawal emosi, ritma dan keberanian ketika berada di pentas.

Katanya, pengalaman menjuarai pertandingan itu pada edisi lepas membuktikan persediaan rapi, semangat berpasukan serta penghayatan terhadap seni pantun memainkan peranan besar dalam mencipta persembahan yang berkesan.

“Pantun perlu ada getaran, perlu ada ‘elektrik’. Kalau masuk gelanggang tanpa semangat, pantun akan jadi hambar. Bukan sekadar pakaian atau aksesori, tetapi jiwa itu sendiri perlu hidup untuk menceriakan gelanggang,” katanya.

Beliau berkata keunikan pantun terletak pada keupayaan pemantun menterjemahkan idea spontan kepada susunan kata yang indah, berirama dan memberi kesan kepada pendengar.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama DBP akan berlangsung Sabtu ini di Panggung Sari, Kompleks Kraf Jalan Conlay di sini.

Program ini merupakan antara pengisian awal menuju kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada Jun depan.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 bagi juara, RM2,000 untuk naib juara dan RM1,000 bagi tempat ketiga, selain trofi dan sijil penyertaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553403