EKONOMI

Misi Pelaburan Shanghai: Johor Tarik Minat 36 Pelabur Global, Komitmen Awal Cecah RM10 Bilion

06/05/2026 01:56 PM

ISKANDAR PUTERI, 6 Mei (Bernama) -- Misi pelaburan kerajaan negeri Johor ke Shanghai, China baru-baru ini berjaya menarik minat 36 syarikat antarabangsa dengan potensi komitmen pelaburan awal dianggarkan RM10 bilion, memberi isyarat jelas keyakinan terhadap Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Lee Ting Han berkata komitmen pelaburan itu tertumpu pada sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), teknologi bateri, aeroangkasa, automotif serta pembuatan berteknologi tinggi. 

Katanya sesi libat urus strategik itu diadakan bersama lebih 150 pelabur berpotensi tinggi termasuk pemilik syarikat dan pembuat keputusan peringkat tertinggi.

“Ini sekali gus mencerminkan tahap keyakinan berterusan pelabur global terhadap daya saing negeri ini, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia,” katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) mengenai hasil dapatan delegasi ke Shanghai pada awal April lepas. 

Lee berkata delegasi yang diketuai Menteri Besar Datuk Onn Hafiz itu turut mengadakan sesi perbincangan secara bersemuka dengan beberapa pemain industri utama dan rangkaian pembekal mereka di Shanghai bagi memperkukuh potensi pelaburan dan pembangunan rantaian bekalan di Johor.

Beliau berkata antara syarikat berkenaan ialah SICC, Longda Superalloy dan GSP Automotive.

Katanya langkah itu selari dengan strategi negeri untuk membangunkan kluster industri bersepadu melibatkan sektor aeroangkasa, semikonduktor dan pembuatan termaju, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor dalam rantaian nilai global.

Menurutnya, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan institusi kewangan utama termasuk Maybank, AmBank, UOB, OCBC, China Construction Bank dan ICBC bagi memperluas capaian kepada rangkaian pelabur mereka di China dan rantau ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553448