JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu Van Terlibat Kemalangan Maut Babitkan Murid Tahun Dua Direman

06/05/2026 03:54 PM

BATU PAHAT, 6 Mei (Bernama) -- Pemandu van yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang murid perempuan tahun dua maut akibat dilanggar kenderaan terbabit direman selama tiga hari bermula hari ini. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama berkata perintah tahanan reman terhadap suspek berumur 60 tahun itu bagi membolehkan siasatan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, maut dilanggar di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong ketika sedang berjalan kaki kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

Siasatan awal mendapati van berkenaan sedang bergerak keluar dari dalam kawasan sekolah melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong selepas selesai menghantar barang.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong.

Jenazah kanak-kanak malang itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa kira-kira 9 malam tadi.

Susulan kejadian itu, Kerajaan Negeri Johor menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti aspek keselamatan jalan raya di sekolah selain memberikan tumpuan kepada penambahbaikan garis panduan keselamatan sedia ada.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553508