EKONOMI

Bank Indonesia Kemuka Tujuh Langkah Stabil Rupiah Di Tengah-tengah Kelemahan Mata Wang

06/05/2026 04:19 PM

JAKARTA, 6 Mei (Bernama) -- Bank Indonesia (BI) menyediakan tujuh langkah yang bertujuan memperkukuh dan menstabilkan nilai rupiah selepas mata wang itu melemah sejak kebelakangan ini, dan inisiatif itu telah diluluskan oleh Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Gabenor BI Perry Warjiyo berkata kesemua langkah itu dibentangkan pada mesyuarat antara presiden dan Jawatankuasa Kestabilan Sistem Kewangan (KSSK) di Istana Merdeka di sini pada malam Selasa.

Beliau berkata langkah pertama melibatkan peningkatan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing, di peringkat domestik dan luar pesisir, bertujuan menstabilkan kadar pertukaran rupiah. 

“Rizab pertukaran asing kita lebih daripada mencukupi untuk menstabilkan kadar pertukaran rupiah,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat itu, menurut Agensi Berita Antara pada Rabu. 

Menurut Perry, langkah kedua dan ketiga memberi tumpuan kepada mengekalkan aliran masuk modal asing menerusi Sekuriti Rupiah Bank Indonesia (SRBI) dan mengukuhkan penyelarasan monetari fiskal, termasuk pembelian bon kerajaan di pasaran sekunder. 

“Kami sudah membeli bon kerajaan bernilai 123.1 trilion rupiah (1 juta rupiah=RM226.8) daripada pasaran sekunder setakat tahun ini, dan kami akan terus menyelaras, termasuk kemungkinan pembelian balik oleh Kementerian Kewangan dan langkah-langkah lain.

“Ini mencerminkan kerjasama rapat antara pihak berkuasa monetari dan fiskal,” katanya. 

Langkah keempat, katanya, melibatkan pengekalan mudah tunai yang mencukupi dalam sektor perbankan dan pasaran wang, dengan pertumbuhan bekalan wang asas baru-baru ini mencecah 14.1 peratus.

Sementara langkah kelima pula melibatkan sekatan yang lebih ketat ke atas pembelian domestik dolar Amerika Syarikat (AS) tanpa aset pendasar, dengan had bulanan dikurangkan daripada US$100,000 kepada US$50,000 seorang sebulan (US$1=RM3.95).

Perry berkata BI juga bersedia untuk menurunkan lagi ambang kepada US$25,000, dan pembelian melebihi jumlah itu memerlukan aset pendasar. 

Selain itu, katanya, langkah keenam akan membolehkan bank tempatan mengambil bahagian dalam perdagangan hadapan tanpa serahan (NDF) luar pesisir bagi meningkatkan bekalan dolar di pasaran luar negara dan menyokong penstabilan rupiah. 

Langkah ketujuh pula melibatkan penyeliaan yang lebih ketat terhadap aktiviti perbankan dan korporat dengan kerjasama Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK), terutamanya yang melibatkan bank dan syarikat yang mempunyai aktiviti pembelian dolar AS yang tinggi. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553550