SUKAN

Cheah Tekad Beri Aksi Terbaik Penampilan Terakhir SUKMA 2026

06/05/2026 05:27 PM

KUANTAN, 6 Mei (Bernama) -- Atlet menembak lelaki Pahang Cheah Zen Hong tekad memberikan aksi terbaik pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang merupakan penampilan terakhirnya dalam temasya berkenaan.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata persiapan kini berada pada tahap maksimum bagi memastikan mampu mencipta pencapaian membanggakan dalam edisi kali ini.

“Saya akan buat yang terbaik yang saya mampu untuk SUKMA terakhir saya dan berharap dapat meraih pencapaian luar biasa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Sukan Pahang 2023/2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, semalam. 

Beliau bersama atlet menembak wanita Pahang Sayyeda Khadeeja Mohammad Anis Fadhli masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Harapan Pahang 2023/2024.

Cheah berkata beliau amat gembira dengan pengiktirafan diterima selepas kejayaannya mengharumkan nama negara, termasuk negeri Pahang. 

“Pengiktirafan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berjuang dan mencapai kejayaan lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

 Pemenang pingat emas acara 10 meter Air Pistol individu lelaki dan berpasukan SUKMA 2024 itu berkata memecahkan rekod sendiri merupakan antara sasaran peribadinya dalam temasya sukan berkenaan serta dua kejohanan lagi.

“Saya hanya akan buat yang terbaik, jadi kalau hari itu (SUKMA 2026) saya dapat memecahkan rekod juga, ia merupakan satu pencapaian sangat membanggakan untuk saya,” katanya. 

Beliau dijadualkan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa sebelum SUKMA 2026 termasuk Piala Dunia Menembak 2026 di Munich, Jerman bulan ini, diikuti Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) di Taiwan.

Sementara itu, Sayyeda Khadeeja yang baru pulih daripada kecederaan tendon berulang sejak dua tahun lepas berkata tumpuannya kini sepenuhnya untuk menghadapi SUKMA 2026 dan Sukan SEA 2027.

“Kecederaan itu berlaku ketika latihan dan sebelum ini agak teruk, tetapi alhamdulillah sekarang semakin baik. Saya masih dalam proses pemulihan,” katanya.

 SUKMA 2026 dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos ini.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553584