KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025 yang dijadual berlangsung di sini, Rabu depan.
SAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan KHM diberikan pengiktirafan itu susulan prestasi konsisten yang ditampilkan di pentas antarabangsa selain usaha berterusan memperkukuh pembangunan hoki tempatan.
Sepanjang tahun lepas, skuad hoki lelaki negara berjaya meraih tempat ketiga pada Piala Asia serta pingat emas Sukan SEA di Thailand, manakala skuad hoki lima sebelah lelaki turut menyumbang pingat emas pada temasya sama.
Selain itu, skuad remaja lelaki negara pula menghadiahkan pingat gangsa pada Piala Asia Bawah 18 Tahun di China.
Dalam perkembangan sama, atlet berbasikal muda Sawda Hasbullah dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik selepas mencipta sensasi dengan kejayaan meraih dua pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Februari tahun lepas.
Atlet kelahiran Melaka itu memenangi emas acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita remaja selain memecahkan rekod remaja Asia yang turut diiktiraf sebagai rekod dunia sebelum menambah satu lagi emas menerusi acara pecut wanita.
Naib Presiden SAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2025 Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata pencapaian dan pengurusan cemerlang menjadi faktor utama pemilihan KHM sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.
Beliau berkata kejayaan Sawda meraih emas ACC selain memegang rekod dunia bagi acara 1 km ujian masa wanita remaja melayakkan atlet muda itu dipilih sebagai Atlet Muda Terbaik.
"Dalam usia yang masih muda, Sawda mempunyai masa yang panjang untuk terus menyerlah sekali gus mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam sukan berbasikal wanita,” katanya.
Pada majlis anugerah itu, selain Anugerah Atlet Muda Terbaik dan Persatuan Sukan Dinamik turut disediakan adalah Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Para Terbaik, Anugerah Persatuan Sukan Dinamik dan Anugerah Khas.
Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun lepas, turut meraikan wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM65,000.
Anugerah berkenaan dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), Fotografi Sukan Terbaik serta Anugerah Pengulas Sukan Popular.
-- BERNAMA