JENAYAH & MAHKAMAH

Peras Ugut Video Intim, Bekas Koperal Diperintah Jalani Hukuman Penjara Lima Tahun

06/05/2026 06:51 PM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Bekas anggota polis berpangkat koperal diperintah menjalani hukuman penjara lima tahun bermula hari ini kerana memeras ugut untuk melaporkan video intim seorang lelaki bersama tunangnya ke pejabat agama selepas pasangan itu ditahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), enam tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azman Abdullah sebulat suara menolak rayuan akhir Mohd Aman Mustapa, 36, untuk mengetepikan sabitan dan keputusan Mahkamah Tinggi Taiping pada 5 Jun 2025, yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Azman, yang bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid turut memerintahkan agar waran penjara dikeluarkan untuk perayu memulakan hukuman penjara serta-merta kerana sebelum ini dia diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.

Pada 29 Nov 2023, Mahkamah Sesyen Taiping menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Mohd Aman selepas didapati bersalah melakukan pemerasan ke atas lelaki itu untuk menakutkannya bahawa mangsa akan dilaporkan ke pejabat agama sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM300 di pejabat Hal Ehwal Awam, Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, Perak, antara 4.30 pagi sehingga 5.30 pagi, 18 Jun 2020, mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Noorin yang membacakan keputusan hari ini berkata mahkamah mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan penelitian menyeluruh terhadap keseluruhan keterangan termasuk nota prosiding dan rakaman keterangan saksi dan mendapati tiada salah arah yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Katanya, keterangan saksi pendakwaan ketiga (SP3 mangsa lelaki) adalah mencukupi untuk membuktikan perayu dengan sengaja meletakkan SP3 dalam ketakutan akan dikenakan tindakan buruk iaitu dilaporkan kepada pihak Jabatan Agama serta kemungkinan video-video peribadi mengaibkan yang diperoleh daripada telefon bimbit SP3 disebarkan sehingga mendorong SP3 menyerahkan wang tunai RM300 kepada perayu.

"Perbuatan perayu juga adalah 'suspicious' dan bertentangan dengan tindakan sewajarnya yang patut diambil oleh seorang anggota polis apabila menahan orang awam," katanya.

Noorin berkata kesalahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan bukanlah satu kesalahan kecil atau teknikal kerana ia melibatkan elemen meletakkan seseorang dalam ketakutan bagi tujuan melakukan pemerasan. 

"Dalam kes ini, ketakutan yang dikenakan ke atas SP3 dan tunangnya adalah bahawa video-video intim mereka akan didedahkan serta perkara tersebut akan dirujuk kepada pejabat agama dan ahli keluarga mereka," katanya.

Hakim itu berkata fakta kes menunjukkan perayu bukan sahaja menggunakan kedudukannya sebagai anggota polis untuk menahan telefon bimbit SP3 tanpa sebarang prosedur sah, malah membawa kedua-dua mangsa ke IPD Selama pada awal pagi secara berasingan dan dalam keadaan mencurigakan.

"Keterangan menunjukkan perayu menyimpan telefon bimbit SP3 tanpa kuasa atau prosedur sah, menggunakan video-video intim milik mangsa sebagai alat tekanan, menakut-nakutkan mangsa bahawa perkara itu akan dilaporkan kepada pihak berkuasa agama dan keluarga mereka, 'berunding' jumlah wang perlu dibayar oleh SP3, menetapkan bayaran RM300 sebulan selama tiga tahun sehingga mencapai jumlah RM10,800 dan hanya memulangkan telefon bimbit SP3 selepas RM300 diserahkan kepadanya," katanya.

Noorin berkata perayu merupakan seorang anggota polis yang diberi kuasa oleh undang-undang untuk melindungi masyarakat dan menegakkan keadilan, sebaliknya telah menggunakan kuasa dan kedudukannya untuk menakutkan orang awam demi kepentingan peribadi.

"Mahkamah tidak boleh memandang ringan penyalahgunaan kuasa oleh anggota penguat kuasa. Apabila seorang anggota polis menggunakan autoriti rasmi untuk mengugut dan memeras ugut orang awam, ia turut menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang," katanya dan menambah perlakuan sedemikian adalah suatu pengkhianatan terhadap amanah awam.

Noorin berkata mahkamah juga mengambil kira bahawa tindakan perayu tidak terhad kepada permintaan wang RM300 semata-mata kerana berdasarkan keterangan, perayu telah cuba 'mengikat' SP3 untuk membuat bayaran bulanan selama tiga tahun. 

"Hal ini menunjukkan bahawa objektif perayu adalah untuk mengekalkan kawalan dan tekanan berterusan terhadap mangsa bagi memperoleh manfaat kewangan secara berpanjangan," katanya.

Noorin berkata Mahkamah Rayuan bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak memadai dan tidak mencerminkan graviti sebenar kesalahan. 

"Sekiranya hukuman terlalu ringan dikenakan dalam kes seperti ini, ia akan memberi gambaran bahawa penyalahgunaan kuasa oleh anggota penguat kuasa boleh dipandang ringan. Mahkamah tidak boleh membenarkan mesej sedemikian disampaikan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata mahkamah juga mengambil maklum bahawa perayu merupakan pesalah kali pertama dan telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 10 tahun, namun perayu tidak menunjukkan penyesalan sebenar terhadap tindakannya dan sepanjang perbicaraan masih cuba meletakkan kesalahan kepada mangsa. 

"Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa sabitan terhadap perayu adalah selamat, disokong oleh keterangan boleh dipercayai dan telah dibuktikan melalui keraguan yang munasabah. Hukuman penjara lima tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan," katanya.

Selepas prosiding berakhir, lelaki terbabit dilihat bersalaman dan berpelukan dengan beberapa individu termasuk seorang wanita yang tidak henti menangis sejak panel hakim Mahkamah rayuan membacakan keputusan.

Pada prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir manakala perayu diwakili peguam Ghazali Ismail.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553687