ISKANDAR PUTERI, 6 Mei (Bernama) -- Projek Pelebaran Lebuhraya Pasir Gudang kini memasuki fasa terakhir dan bakal melengkapkan keseluruhan penaiktarafan laluan sepanjang 29.5 kilometer itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata projek Fasa 3 dengan peruntukan kira-kira RM174 juta itu telah dilaksanakan sejak Disember lepas dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira tiga tahun.
Beliau berkata projek pelebaran yang dilaksanakan bagi menaik taraf jalan daripada empat kepada enam lorong itu akan meningkatkan kapasiti trafik di laluan yang menjadi antara nadi pergerakan utama antara Johor Bahru dan Pasir Gudang.
"Penambahbaikan ini dijangka membantu mengurangkan kesesakan, selain meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya," katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Mohamad Fazli sebelum ini dilaporkan berkata Lebuhraya Pasir Gudang itu bermula dari Tol Perling hingga Interchange Pasir Gudang dengan projek pelebaran telah berjalan secara berfasa sejak 2012.
Menurutnya apabila siap Fasa 3, tiada lagi kesesakan disebabkan oleh "bottleneck" atau cerutan jalan di sepanjang lebuh raya itu dengan enam lorong dua hala menjelang 2028.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Fazli berkata Johor telah menerima 21 projek Rancangan Tebatan Banjir bernilai RM2.4 bilion sejak 2022 hingga 2025.
Sebahagian projek berkenaan, katanya dijangka siap pada 2027 dan jika semua projek disiapkan mengikut jadual, ia akan membantu menyelesaikan masalah banjir yang telah lama dihadapi penduduk di daerah Segamat, Batu Pahat, Muar, Kota Tinggi serta Kluang.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri menerima projek bekalan air mentah bernilai RM1.7 bilion dalam tempoh sama yang antaranya dilaksanakan bagi menambah kapasiti sumber air berkenaan.
Mohamad Fazli berkata projek itu termasuk Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Sedili Besar ke Sungai Gembut di Kota Tinggi yang mencapai kemajuan 3.59 peratus dan dijangka siap Oktober 2027, serta Projek Naik Taraf dan Pembaikan Empangan Berisiko Tinggi dengan kemajuan 75 peratus serta dijangka siap Julai depan.
-- BERNAMA