AM

Teknologi AI, Aset Moden Perhebat Kawalan Keselamatan ESSZone - Hajiji

06/05/2026 07:38 PM

LAHAD DATU, 6 Mei (Bernama) -- Sabah akan terus memperhebat tahap keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) melalui penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI) menjamin kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negeri berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu melibatkan pemodenan aset sedia ada selain penggunaan teknologi dron dan radar bagi memastikan pengawasan ruang udara serta perairan yang lebih efektif.

"Integrasi analisis data raya juga akan diperluas untuk membolehkan agensi keselamatan membuat pemantauan menyeluruh dan memberikan respons yang lebih pantas terhadap sebarang bentuk ancaman.

“Inisiatif tersebut selari dengan kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang menekankan pengukuhan sistem keselamatan bukan sahaja dari sudut fizikal malah merangkumi aspek pertahanan digital,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jaminan keselamatan jitu ialah prasyarat utama dalam membina keyakinan pelabur yang secara langsung akan memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat dan aktiviti ekonomi setempat.

Hajiji juga berkata pembangunan di ESSZone akan dilaksana secara holistik dengan mengimbangi keperluan pertahanan serta pemerkasaan sosial dan ekonomi bagi memastikan kawasan itu terus berkembang.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553701