Sedang Malaysia menuju status negara menua menjelang 2030, kebimbangan terhadap osteoporosis juga meningkat, dan seiring dengannya, salah tanggapan tentang apa yang benar-benar menguatkan tulang turut berleluasa.
Selama berdekad-dekad, mesej kesihatan awam dan nasihat pemakanan sering mengaitkan kesihatan tulang dengan pengambilan kalsium. Sejak sekian lama, susu, suplemen dan makanan kaya kalsium dipromosikan sebagai asas kepada tulang yang kuat, menyebabkan ramai beranggapan pengambilan kalsium sahaja sudah mencukupi.
Namun, pakar kesihatan mengingatkan persepsi sedemikian mungkin mewujudkan rasa selamat yang palsu kerana, kekuatan tulang dipengaruhi oleh gabungan faktor biologi, pemakanan dan gaya hidup, bukan kalsium semata-mata.
“Ramai beranggapan pengambilan kalsium sahaja sudah mencukupi, sedangkan kesihatan tulang jauh lebih kompleks daripada itu,” kata pakar fisiologi Prof Madya Dr Badariah Ahmad.
SALAH TANGGAPAN TENTANG KALSIUM
Dalam amalan klinikal, salah tanggapan tentang pengambilan kalsium selalunya tercermin dalam tingkah laku pesakit, khususnya kebergantungan berlebihan pada suplemen atau makanan tambahan, tanpa penilaian keperluan pemakanan yang sewajarnya.
Dr Badariah yang juga Timbalan Ketua Pusat Pengajian Perubatan dan Sains Kesihatan (Unit Penglibatan & Kerjasama) di Universiti Monash Malaysia, berkata ramai cenderung mengambil suplemen kendiri tanpa memahami sama ada mereka benar-benar memerlukam kalsium itu.
Beliau berkata amalan itu selalunya dilakukan tanpa mengambil kira jumlah kalsium daripada sumber makanan harian, terutamanya dalam kalangan mereka yang menganggap suplemen sebagai langkah pencegahan walaupun mereka tidak mengalami kekurangan zat tersebut.
Pengambilan kalsium secara berlebihan, khususnya melalui suplemen, tidak semestinya meningkatkan kekuatan tulang. Sebaliknya, tindakan itu boleh meningkatkan risiko seperti batu karang serta ketidakselesaan gastrousus termasuk sembelit.
Menurut Dr Badariah, pendekatan paling selamat ialah memenuhi keperluan harian kalsium yang disyorkan (sekitar 1,000 hingga 1,200 miligram bergantung pada umur dan jantina) melalui makanan, manakala suplemen hanya diambil apabila disarankan secara perubatan.
Mengulas pengambilan kalsium melalui makanan, beliau berkata ramai rakyat Malaysia cenderung memberi tumpuan kepada susu dan mengabaikan sumber lain yang kaya kalsium seperti ikan kecil yang boleh dimakan bersama-sama dengan tulangnya, antaranya ikan bilis (ikan bilis kering), selain tauhu, sayur-sayuran hijau berdaun, kekacang dan produk soya yang diperkaya.
Pada masa sama beliau turut mengingatkan pengambilan garam yang tinggi dan makanan diproses secara berlebihan boleh meningkatkan kehilangan kalsium melalui air kencing, sekali gus melemahkan kekuatan tulang secara beransur-ansur.
Pensyarah ortopedik Prof Madya Dr Win Min Thein daripada Pusat Pengajian Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan, Taylor’s University, juga bersetuju kesihatan tulang bukan ditentukan oleh suplemen kalsium semata-mata, tetapi oleh gabungan faktor hormon, pemakanan dan gaya hidup.
“Sebagai contoh, osteoporosis (penyakit tulang yang lazim) melibatkan kehilangan jisim tulang dan kemerosotan struktur tulang secara sekali gus, bukan sekadar disebabkan oleh tahap kalsium yang rendah,” katanya.
Beliau berkata individu dengan pengambilan kalsium mencukupi juga masih boleh mengalami kemerosotan kesihatan tulang jika faktor lain seperti perubahan hormon, kekurangan nutrisi dan gaya hidup tidak aktif, tidak ditangani.
Tambahnya, merokok dan pengambilan alkohol secara berlebihan turut melemahkan kekuatan tulang dengan mengganggu pembentukan tulang serta meningkatkan risiko patah.
Beliau juga menekankan kepentingan mengekalkan tahap aktiviti fizikal yang mencukupi kerana, katanya, tulang memerlukan tekanan mekanikal untuk mengekalkan kekuatan dan integriti strukturnya.
“Tanpa rangsangan mekanikal yang mencukupi, tulang secara beransur-ansur kehilangan keupayaannya untuk kekal kuat,” jelas beliau.
TULANG BUKAN SEKADAR KALSIUM
Dr Win menjelaskan tulang ialah tisu hidup yang sentiasa mengalami proses pembentukan semula -satu proses dinamik dengan sel khusus mengawal keseimbangan antara pembentukan tulang (osteoblas) dan pemecahan tulang (osteoklas), membolehkan rangka membaiki kerosakan mikro dan menyesuaikan diri dengan tekanan mekanikal.
Proses berterusan ini menjamin integriti struktur, namun apabila keseimbangan terganggu, kualiti tulang akan merosot secara beransur-ansur, selalunya tanpa menunjukkan gejala awal.
Bagi menggambarkan keadaan itu, Dr Win mengibaratkan tulang seperti satu struktur binaan.
“Kalsium bertindak sebagai simen, kolagen membentuk rangka dan sel tulang ialah pekerja yang menyelenggara struktur tersebut,” katanya.
Dalam konteks ini, kalsium hanyalah satu komponen dalam sistem biologi yang lebih luas, bukannya penentu tunggal kekuatan tulang.
“Kekuatan tulang bukan sahaja bergantung pada kandungan mineral, tetapi juga pada integriti kerangka kolagen yang memberikan sokongan struktur.
“Tanpa struktur asas yang kukuh, manfaat daripada peningkatan pengambilan kalsium semata-mata adalah terhad selain boleh menimbulkan rasa selamat yang palsu dalam kalangan individu yang terlalu bergantung pada suplemen,” tambahnya.
Mengulas kesihatan tulang sepanjang hayat, Dr Badariah menjelaskan zaman kanak-kanak dan remaja merupakan fasa kritikal untuk membina jisim tulang puncak yang menentukan kekuatan dan ketahanan tulang jangka panjang.
Namun, gaya hidup moden yang menyaksikan kekurangan aktiviti fizikal dan pendedahan kepada cahaya matahari, mampu menjejaskan perkembangan itu walaupun di negara tropika seperti Malaysia.
Satu lagi kebimbangan ialah pada peringkat dewasa, apabila kemerosotan kesihatan tulang boleh berlaku secara beransur-ansur tanpa menunjukkan gejala ketara, dan kerap kali hanya diketahui apabila patah tulang berlaku.
“Ramai pesakit hanya mula memberi perhatian kepada kesihatan tulang selepas komplikasi berlaku,” katanya, menambah pada ketika itu kerosakan yang ketara telahpun berlaku.
SARINGAN
Ujian saringan seperti imbasan kepadatan tulang dapat membantu mengenal pasti individu berisiko dengan lebih awal, khususnya mereka yang mempunyai faktor seperti kurang berat badan, merokok, gaya hidup tidak aktif atau penggunaan ubat jangka panjang.
“Bagi wanita menopaus, penurunan tahap estrogen mempercepatkan kemerosotan tulang, sekali gus meningkatkan risiko osteoporosis dalam tempoh yang agak singkat.
“Bagi warga emas, patah tulang, khususnya bahagian pinggul, boleh menyebabkan ketidakupayaan jangka panjang, kehilangan keupayaan berdikari serta meningkatkan risiko kematian,” tambahnya.
Justeru tegas beliau, langkah pencegahan perlu bermula awal dengan mengekalkan gaya hidup aktif, melakukan senaman bebanan secara berkala serta berjalan dan menaiki tangga bagi menyokong kesihatan tulang secara menyeluruh serta mengurangkan risiko jangka panjang.
Dr Win turut menekankan kepentingan membentuk tabiat gaya hidup sihat sejak awal kehidupan bagi menyokong kekuatan tulang jangka panjang.
Dr Badariah pula berkata daripada perspektif klinikal, penyedia penjagaan kesihatan perlu memberi penekanan lebih besar terhadap penilaian gaya hidup semasa sesi konsultasi dengan pesakit, termasuk menilai tahap aktiviti fizikal, tabiat seperti merokok dan pengambilan alkohol serta risiko jatuh.
“Senaman perlu ‘dipreskripsikan’ seperti ubat, dengan panduan yang jelas dan praktikal. Pada masa sama, pesakit juga perlu memahami suplemen berfungsi dengan lebih baik apabila digabungkan dengan pergerakan fizikal, pemakanan yang seimbang dan amalan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata perubahan gaya hidup kurang diberi perhatian kerana manfaatnya berlaku secara beransur-ansur dan kurang ketara berbanding pengambilan ubat.
“Kita boleh membantu orang ramai mengambil pendekatan yang lebih holistik terhadap kesihatan tulang, daripada terlalu bergantung pada suplemen semata-mata,” tegasnya.