JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Selangor Gempur Sindiket Seleweng Gas LPG Dalam Ladang Sawit

07/05/2026 11:32 AM

SHAH ALAM, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menumpaskan satu aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dan menahan dua lelaki warga Indonesia dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di kawasan ladang kelapa sawit Jalan Tok Mori, Tanjung Sepat di Kuala Langat, semalam.

Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa'ari menerusi kenyataan hari ini berkata operasi bersepadu di bawah Ops Tiris 4.0 itu dilakukan pasukan risikan KPDN Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira pukul 3 petang selepas risikan selama sebulan.

"Semasa serbuan dilakukan, dua lelaki warga Indonesia lingkungan umur 20-an sedang leka menjalankan aktiviti decanting, iaitu memindahkan kandungan gas daripada tong bersubsidi 14 kilogram (kg) ke dalam tong industri 50 kg.

"Hasil siasatan awal mendapati premis itu dipercayai telah beroperasi selama sebulan dengan menyasarkan pasaran pihak industri yang mahukan bekalan LPG pada harga lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa," katanya.

Muhamad Hanif berkata pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemukan pelbagai peralatan teknikal termasuk hos penyambung dan timbunan bungkusan beg plastik berisi ais yang diletakkan di sekitar kawasan pemindahan gas terbabit.

Beliau berkata penggunaan ais merupakan teknik konvensional yang sering digunakan oleh sindiket untuk menyejukkan suhu tong bagi mempercepat proses pengaliran cecair gas secara graviti atau perbezaan tekanan tanpa menggunakan pam elektrik.

"Modus operandi mereka melibatkan perolehan bekalan LPG subsidi daripada pemborong berlesen di sekitar kawasan Banting, Tanjung Sepat serta Sungai Pelek bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Pihak kementerian kini memberikan fokus sepenuhnya kepada siasatan rantaian pembekal yang membolehkan sindiket ini memperoleh kuantiti gas bersubsidi yang banyak untuk tujuan penyelewengan," katanya.

Menerusi tindakan penguatkuasaan itu, Muhamad Hanif berkata pihaknya berjaya menghalang ketirisan subsidi negara yang dianggarkan mencecah RM750,000 sepanjang tempoh aktiviti haram itu dijalankan oleh pihak terlibat.

Dalam masa sama, beliau berkata pasukan serbuan turut menyita 250 unit tong LPG pelbagai jenama serta alat timbang pelantar dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan lain dianggarkan berjumlah RM400,000.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, khususnya Seksyen 21 bagi mengenal pasti identiti pemilik premis dan syarikat yang bersekongkol dalam aktiviti tidak bertanggungjawab ini.

"Dua individu warga Indonesia yang ditahan di lokasi telah dibawa untuk rakaman percakapan bagi membantu proses melengkapkan siasatan sebelum tindakan pendakwaan dimulakan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan tegas di bawah AKB 1961 memperuntukkan denda hingga RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tiga tahun, manakala syarikat boleh dikenakan denda hingga RM2 juta bagi kesalahan pertama.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553878