KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Perlindungan insurans dan takaful kepada pekerja adalah antara langkah penting untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengekalkan tenaga kerja, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata peningkatan kos memberikan tekanan kepada pekerja terutama dalam industri PMKS.
“Dengan adanya kemudahan insuran atau takaful perlindungan kepada pekerja khususnya dari segi perlindungan ketika sakit, sekurang-kurangnya majikan boleh mengurangkan kos dalam aspek ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Akaun Gaji CIMB di bawah program CIMB@Work di sini hari ini.
Terdahulu, Sim dalam ucapannya berkata beliau telah menggariskan pendekatan 3A kepada sektor perbankan dan institusi kewangan bagi membantu PMKS, meliputi ‘accessibility’ (kebolehsampaian), ‘affordability’ (kemampuan) dan ‘advancability’ (keupayaan untuk meningkat).
“Pertama, perlu ada ‘accessibility’ kepada PMKS, khususnya dari segi kelulusan pinjaman yang lebih cepat. Kedua ‘affordability’ iaitu mesti mampu dimiliki terutama bagi PMKS.
“Ketiga ‘advancability’ iaitu bukan sahaja memberikan modal atau suntikan kapital, tetapi turut membantu usahawan dari segi pembangunan kapasiti dan pengembangan perniagaan mereka,” katanya.
-- BERNAMA