AM

Lebih 20,000 Pesawah Di Perak Terima Manfaat Bayaran Pendahuluan Insentif Pembajakan

07/05/2026 05:13 PM

PASIR SALAK, 7 Mei (Bernama) -- Lebih 20,000 pesawah berdaftar di Perak menerima manfaat bayaran pendahuluan insentif pembajakan RM200 bagi setiap hektar sawah iaitu sebahagian daripada kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilihat dapat mengurangkan bebanan golongan pesawah yang terpaksa menghadapi peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel ketika ini.

"Pesawah di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dan Kerian, FELCRA serta Jabatan Pertanian Malaysia menerima manfaat insentif tersebut," katanya kepada  pemberita pada program Hari Bertemu Petani, Penternak dan Nelayan @ Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah sempena Jelajah Sejahtera Agro di sini hari ini.

Pada Selasa, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membayar wang pendahuluan RM200 bagi setiap hektar iaitu sebahagian daripada kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan kepada 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara bagi mengurangkan bebanan mereka.

Inisiatif yang dipersetujui pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipengerusikan beliau sendiri, akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta.

Sementara itu, Mohamad Zohir Jamaludin, 39, yang mengusahakan sawah seluas 2.4 hektar di Kampung Gajah dekat sini berkata pemberian insentif berkenaan tepat pada masanya ketika berlaku kenaikan kos operasi.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana dengan insentif yang diberikan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung pesawah.

"Saya berharap kaedah pembayaran (insentif) dapat diberikan secara terus kepada pesawah supaya bantuan dapat digunakan dengan sebaik mungkin," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2554059