EKONOMI

MIDA Gesa Penyertaan Tempatan Lebih Mendalam Dalam Rantaian Nilai Semikonduktor

07/05/2026 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Malaysia perlu terus menarik pelaburan strategik dan berkualiti tinggi sambil memastikan syarikat tempatan meraih bahagian yang lebih besar daripada nilai yang dicipta oleh pelabur global yang beroperasi di negara ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.

Beliau ketika berucap di forum “Memajukan Ekosistem Semikonduktor Malaysia Melalui Integrasi Strategik Rantaian Bekalan & Peningkatan Keupayaan” berkata sesi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh ekosistem semikonduktor negara dan meningkatkan keupayaan pembekal.

Forum berkenaan diadakan pada 6 Mei sempena SEMICON Asia Tenggara 2026.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai serta Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong UOB Malaysia Andy Cheah.

“Forum ini menyediakan platform untuk memperkukuh hubungan, mengenal pasti jurang keupayaan serta memudah cara padanan perniagaan dan kerjasama di antara pelabur utama multinasional dengan pembekal Malaysia.

“Ia juga menjawab persoalan yang kini menjadi teras strategi semikonduktor global iaitu sejauh mana nilai yang diwujudkan di Malaysia akhirnya dapat dikekalkan dalam negara,” kata Sikh Shamsul Ibrahim dalam ucapan pembukaan forum berkenaan.

Beliau menggariskan tiga program utama MIDA yang paling berkaitan dengan tema forum itu.

Pertama ialah Platform Pertumbuhan Perusahaan (EGP) yang menyokong syarikat Malaysia yang ingin berkembang ke dalam rantaian bekalan utama, pasaran eksport dan kerjasama strategik.

“Minggu lepas, pada 27 April, kami telah melaksanakan program EGP Utara di Sungai Petani, Kedah yang menghimpunkan kerajaan negeri, institusi kewangan, pengawal selia serta rakan promosi eksport bersama syarikat-syarikat di wilayah utara dalam satu platform.

“Kami akan terus memperluas pelaksanaan format ini ke wilayah-wilayah lain dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Kedua ialah Program Rantaian Bekalan MIDA yang menghubungkan pelabur utama multinasional secara langsung dengan pembekal Malaysia yang berkelayakan.

Program Pembangunan Vendor Infineon merupakan contoh utama dalam sektor semikonduktor dengan syarikat Malaysia yang terlibat berkembang daripada perkhidmatan asas kepada keupayaan bernilai tinggi seperti peralatan berketepatan tinggi, peralatan ujian automatik dan kejuruteraan bilik bersih, tambah beliau.

Sikh Shamsul Ibrahim menambah kerjasama MIDA dengan Arm Ltd pada 2025 akan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpilih di Malaysia mendapat akses kepada harta intelek reka bentuk cip bertaraf dunia sekali gus menyokong aspirasi negara dalam reka bentuk litar bersepadu.

Ketiga adalah inisiatif #InvestLokal iaitu kempen komunikasi yang meletakkan semula MIDA sebagai rakan kepada pelabur domestik serta mengetengahkan kisah kejayaan sebenar PKS di platform digital dalam Bahasa Malaysia.

“Pendedahan membawa kepada penyertaan dan penyertaan membina kekuatan asas pembekal kita,” katanya.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata usaha ini dilaksanakan dengan penyelarasan rapat bersama agensi-agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta rakan kerajaan yang lain bagi memastikan pembiayaan, bantuan teknikal dan akses pasaran diselaraskan mengikut keperluan industri.

“Program-program ini bukan bersifat abstrak. Ia menyokong firma kejuruteraan, pengeluar berketepatan tinggi, pakar bahan serta pusat ujian yang membentuk lapisan rantaian nilai yang ingin ditangani menerusi forum ini,” katanya.

Beliau turut menekankan peningkatan keterhubungan di antara sektor semikonduktor dengan automotif khususnya dalam bidang seperti kenderaan elektrik, sistem bantuan pemanduan termaju serta penyelesaian mobiliti pintar.

“Semikonduktor telah menjadi tulang belakang kepada pembuatan automotif moden,” katanya.

Beliau turut menyebut mengenai cip kuasa, sensor, sistem pengurusan bateri dan ketersambungan kenderaan sebagai teknologi asas yang membolehkan perkembangan tersebut.

Beliau menambah pengukuhan integrasi ini akan memperkukuh aspirasi Malaysia dalam sektor semikonduktor serta daya saing industri automotifnya dalam rantaian nilai serantau dan global.

Semasa forum tersebut berlangsung, MIDA menandatangani memorandum persefahaman dengan MSIA bagi memperkukuh pemetaan keupayaan bersama, penilaian kesiapsiagaan pembekal serta usaha jangkauan bersepadu kepada pelabur utama.

“MIDA menghargai hubungan langsung MSIA dengan industri dan kerjasama ini akan membolehkan usaha kami sampai kepada syarikat semikonduktor Malaysia dengan lebih berkesan,” kata Sikh Shamsul Ibrahim.

Pada forum tersebut turut menyaksikan pelancaran Malaysia Advanced Packaging Consortium dengan ahli pengasas terdiri daripada SkyeChip, Fusion AP, Inari, Pentamaster dan NSW Automation.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2554169