PASIR PUTEH, 7 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 10 pendatang asing warga India dan Bangladesh di tebing sungai Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu awal pagi semalam.
Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata tangkapan dilakukan hasil risikan berkaitan aktiviti penyeludupan migran melalui laluan tidak diwartakan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata Ops Naga, Ops Damai, Ops Pelantan Merah dan Ops Tiris di sekitar perairan Sungai Kelantan berjaya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan pada 1.15 pagi.
“Bot berkenaan dipercayai membawa masuk pendatang asing sebelum menuju ke tebing sungai di Kampung Kedai Buloh,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata bot itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri selepas memecut ke laluan sungai cetek sehingga menyukarkan pasukan operasi menghampiri lokasi.
Susulan itu, pasukan operasi darat digerakkan ke kawasan tebing sungai bagi memintas pergerakan kumpulan terbabit sebelum berjaya menahan kesemua individu berkenaan sekitar 2.13 pagi.
Kamal berkata pemeriksaan mendapati mereka terdiri daripada lapan warga India, iaitu lima lelaki dan tiga wanita serta dua warga Bangladesh membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 38 tahun.
“Siasatan mendapati kesemua mereka memiliki pasport, namun gagal mengemukakan rekod perjalanan sah untuk memasuki negara ini,” katanya.
Kamal berkata kesemua individu terbabit dipercayai menggunakan khidmat ejen dengan bayaran antara RM5,000 hingga RM12,000 bagi setiap kemasukan ke Malaysia. Mereka dipercayai datang untuk bekerja di kedai dobi, pusat cucian kenderaan dan salon kecantikan di Johor Bahru, Lembah Klang serta kawasan utara.
Beliau berkata semua individu terbabit dibawa ke Pejabat APMM Kelantan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA