GAYA HIDUP

Tauliah Mengajar Agama Jamin Kredibiliti, Elak Kekeliruan Masyarakat

08/05/2026 09:05 AM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle 

BANGI, 8 Mei (Bernama) -- Tauliah mengajar agama bukan sekadar syarat, tetapi jaminan pihak berkuasa agama negeri bahawa individu itu benar-benar layak untuk membimbing umat Islam menurut ajaran sebenar.

Justeru, pemilikan tauliah dapat membina keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti penceramah selain memastikan syarahan dan kuliah agama Islam disampaikan secara bertanggungjawab.

pic-2

Muhammad Ridzwan Mohd Idris, 29, menyifatkan tauliah yang diterimanya sebagai “pasport” untuk beliau  beralih daripada pengajaran dalam talian ke interaksi bersemuka di institusi masjid dan surau.

“Selepas lima tahun aktif mengajar secara dalam talian, saya rasa sudah sampai masanya untuk turun ke lapangan,” katanya kepada Bernama selepas Muzakarah Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan Kali Kedua Tahun 2026, di sini.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan al-Sunnah dengan Komunikasi daripada Universiti Islam Selangor itu berhasrat membawa pendekatan dakwah yang lebih segar dan santai serta mudah difahami, khususnya bagi menarik minat golongan muda.

“Kalau sekadar mengajar biasa mungkin orang kurang tertarik. Jadi kita masukkan elemen latihan, komunikasi dan kesedaran dalam program al-Quran supaya masyarakat lebih seronok dan mudah faham,” katanya yang juga pemegang tauliah mengajar di Negeri Sembilan.

pic-3

Sementara itu, Syahirul Idzhar Sham Suri, 26, menyifatkan tauliah yang diterimanya sebagai amanah besar dalam memastikan ilmu agama disampaikan dengan tertib dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Lulusan Pengajian Islam daripada University of Marrakesh, Maghribi dan kini bertugas sebagai Timbalan Ketua Penyelidik Syariah di Maktabah Al-Bakri, menjadikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai inspirasi dalam membawa pendekatan dakwah yang sederhana dan menenangkan masyarakat.

Muhammad Ridzwan dan Syahirul Idzhar adalah antara 111 pemegang tauliah mengajar agama Islam di Wilayah Persekutuan yang menyertai Latihan Penjagaan Suara Khusus untuk Muazin bersempena dengan Hari Suara Sedunia 2026 anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Program itu memberi penekanan kepada teknik penggunaan suara yang betul, penjagaan kesihatan vokal serta pencegahan kecederaan pita suara khususnya bagi golongan yang menggunakan suara secara intensif seperti imam dan muazin (bilal).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2554297