KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Sektor perbankan dijangka mencatat prestasi suku pertama tahun kewangan 2026 yang lebih kukuh walaupun dalam senario krisis Asia Barat manakala tekanan kos boleh mendorong kepada langkah bantuan ekonomi serta penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menerusi nota penyelidikan bertajuk Prebiu Suku Pertama Tahun Kewangan 2026 : Perang dan Bantuan, juga mengekalkan saranan positif terhadap sektor itu dengan merujuk pulangan dividen menarik, mudah tunai mencukupi serta prospek pendapatan bukan faedah yang lebih kukuh.
Bank pelaburan itu menyifatkan impak konflik terhadap kualiti aset dan pertumbuhan perbankan secara relatifnya kekal terhad dalam suku pertama tahun kewangan 2026 dengan bank-bank terus mendapat manfaat daripada persaingan deposit yang mereda, momentum pendapatan kukuh, pertumbuhan pendapatan kasar syarikat serta pengembangan pinjaman yang berdaya tahan.
“Walaupun terdapat cabaran, sektor perbankan kekal menjadi pilihan dari segi daya tahan yang kukuh,” menurutnya.
Bank pelaburan itu juga menyifatkan kestabilan geopolitik dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil akan terus menyokong sentimen pelabur.
Bagaimanapun, bank berkenaan menyatakan momentum pinjaman perniagaan mulai suram, khususnya bagi segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di tengah-tengah peningkatan modal kerja.
“Bagi mengekalkan kestabilan dan kebolehjangkaan geopolitik, aspek inflasi dan tekanan kos sara hidup perlu diuruskan untuk mengurangkan impaknya ke atas orang awam,” menurutnya.
MBSB IB juga mengunjurkan pendekatan bagi mengurangkan tekanan kos berkemungkinan dilaksanakan lebih awal lagi dengan implikasi yang pelbagai ke atas sektor perbankan.
Antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah rangsangan ekonomi serta pakej bantuan untuk menyokong pertumbuhan pinjaman perniagaan serta runcit selain kemungkinan penurunan OPR sehingga 25 mata asas bagi mengurangkan kos pinjaman dan menyuntik kelegaan jangka pendek untuk peminjam.
Pada masa sama, bank pelaburan itu mengetengahkan risiko penurunan terhadap prospek positif unjurannya, termasuk gangguan pertumbuhan ekonomi yang boleh memperlahankan pengembangan serta melemahkan kualiti aset.
Potensi penurunan OPR misalnya boleh merencatkan margin faedah bersih bank-bank dalam jangka pendek manakala sebarang impak penyusutan kualiti aset hanya mendorong kepada keperluan peruntukan yang lebih tinggi.
Pilihan utama MBSB bagi sektor perbankan itu adalah Hong Leong Bank Bhd dengan saranan “beli” serta harga sasaran RM30.50 serta AMMB Holdings Bhd dengan harga sasaran RM7.57.
-- BERNAMA