KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menyemak semula unjuran pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pembuatan 2026 untuk Malaysia kepada 4.3 peratus daripada 3.5 peratus sebelumnya (2025: 4.5 peratus).
Dalam satu nota hari ini, Kenanga IB berkata ia menaikkan unjuran pertumbuhan IPP pembuatan 2026 disebabkan oleh pengeluaran yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku pertama 2026 (S1 2026) yang berkemungkinan dibawa ke suku kedua 2026 (S2 2026)
“Ini sebahagiannya disokong oleh aktiviti penyimpanan stok yang semakin pantas apabila pengeluar berusaha untuk mengurangkan risiko kekurangan bahan mentah yang berpunca daripada gangguan bekalan yang berkaitan dengan Asia Barat.
“Pengeluaran yang lebih kukuh pada separuh pertama 2026 boleh mengimbangi sebahagian daripada potensi kelembapan pada separuh kedua 2026, sekiranya kesan pusingan kedua daripada ketegangan geopolitik yang berpanjangan dan turun naik harga komoditi meningkat,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa IPP meningkat sebanyak 3.1 peratus tahun ke tahun pada Mac 2026, diterajui oleh pertumbuhan 5.5 peratus dalam pengeluaran pembuatan dan 4.9 peratus dalam keluaran elektrik.
Kenanga IB juga berkata ia mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2026 pada 4.5 peratus (2025: 5.3 peratus) tetapi menyemak semula pertumbuhan suku pertama 2026 kepada 5.1 peratus.
“Kami menjangkakan pertumbuhan akan mengukuh pada suku kedua 2026 pada kadar 5.3 peratus, disokong oleh pengumpulan inventori dan aktiviti perkhidmatan yang lebih kukuh di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026, yang sepatutnya membantu mengimbangi kelemahan perlombongan.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan momentum pertumbuhan akan perlahan pada separuh kedua 2026, sekiranya ketegangan geopolitik berterusan, kesan asas 2025 memberi kesan dan penambahan semula inventori menjadi lebih mudah,” tambahnya.
Sementara itu, RHB IB menjangkakan pertumbuhan IPP Malaysia akan berkembang sebanyak 4.1 peratus pada 2026.
“Kami mengekalkan tinjauan positif secara meluas terhadap sektor perkilangan, sambil kekal peka terhadap perkembangan luaran di tengah-tengah ketegangan di Asia Barat dan potensi perubahan dalam dasar tarif Amerika Syarikat (AS).
“Aktiviti perkilangan terus disokong oleh permintaan elektrik dan elektronik global yang mampan, penggunaan domestik yang stabil serta pendekatan dasar yang disasarkan,” katanya.
Bagaimanapun, RHB IB berkata sektor itu masih agak sensitif kepada ketidaktentuan luaran dan tekanan kos input, terutamanya daripada harga minyak yang lebih tinggi, yang boleh meningkatkan kos pengeluaran minyak, pengangkutan serta tenaga intensif yang lain.
-- BERNAMA