AM

HASA UiTM Hospital Pengajar Universiti Pertama Laksana Sistem DRG Melalui MyCMX

08/05/2026 07:14 PM

KUALA SELANGOR, 8 Mei (Bernama) -- Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi hospital pengajar universiti (HPU) pertama di Malaysia melaksanakan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) melalui platform MyCasemix (MyCMX), dalam usaha menangani peningkatan kos rawatan serta memperkukuh ketelusan dan kecekapan perkhidmatan kesihatan.

Pelaksanaan sistem itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) HASA UiTM bersama Kementerian Kesihatan (KKM) yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dan Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib hari ini.

Shahrin berkata melalui penggunaan sistem MyCMX di HASA UiTM, data klinikal dan kewangan dapat diurus secara lebih sistematik, sekali gus membolehkan pemantauan kualiti perkhidmatan, perancangan strategik serta pengurusan kos yang lebih berkesan. 

“Pelaksanaan penggunaan sistem ini juga dijangka dapat memastikan kos rawatan yang lebih telus berdasarkan keperluan klinikal dan penggunaan sumber sebenar.

“Kerjasama strategik ini turut menyokong aspirasi pelaksanaan DRG Kebangsaan serta Kertas Putih Kesihatan Negara ke arah sistem kesihatan yang lebih mampan, adil dan berdaya tahan,” katanya ketika berucap sempena majlis menandatangani (MoU) antara HASA UiTM dan KKM di hospital itu di Puncak Alam hari ini.   

Shahrin berkata pelaksanaan sistem itu adalah satu keperluan strategik untuk memastikan kelestarian sistem kesihatan negara, khususnya dalam menghadapi cabaran peningkatan kos rawatan dan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata melalui MoU itu, UiTM akan memberikan tumpuan kepada pembangunan kapasiti latihan, perkongsian data klinikal dan kewangan serta sokongan pelaksanaan DRG menerusi sistem MyCMX di peringkat nasional, sekali gus berperanan sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.

Dr Mahathar dalam ucapannya berkata MoU berkenaan antaranya bagi memperkenalkan dan menguji kebolehgunaan MyCMX di hospital, selain KKM menambah baik proses pengumpulan data klinikal serta memperkukuh pemantauan kualiti data seperti kadar kemasukan semula pesakit ke hospital.

Beliau berkata input daripada HASA amat bernilai untuk memastikan MyCMX menjadi lebih generik, praktikal dan bersedia untuk menyokong pembangunan Sistem DRG Kebangsaan.  

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2554633