AM

Mohammad Hasif Lakar Sejarah Rakyat Malaysia pertama Tersenarai Dalam Program "Apple's Developer Recognition" 

14/05/2026 10:57 AM

Oleh R. Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Jurutera perisian, Mohammad Hasif Afiq melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai rakyat Malaysia pertama tersenarai dalam Developer Recognition, program terbaharu yang diperkenalkan oleh Apple.

Mohammad Hasif, 30, yang berkhidmat sebagai jurutera iOS kanan di Grab itu adalah antara kira-kira 50 pembangun dan pemimpin komuniti di seluruh dunia, yang menjadi kumpulan pertama menerima pengiktirafan untuk inisiatif berkenaan. 

Beliau menyifatkan pengiktirafan daripada gergasi teknologi global itu sebagai satu detik yang sukar dipercayai dan amat mengharukan, sebaik menerima makluman menerusi e-mel rasmi daripada pasukan Developer Relations Apple semalam.

“Sukar untuk saya percaya dan ingatkan saya tersilap baca, berkali-kali saya baca e-mel itu sebelum ke laman web Apple Developer untuk mendapatkan kepastian.  

“Saya amat terkejut, teruja dan bersyukur bila tahu saya satu-satunya rakyat Malaysia yang terpilih,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata individu pertama yang mengetahui tentang berita itu ialah isteri dan ibu bapanya.

Mohammad Hasif berkata ia bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya detik membanggakan bagi ekosistem pembangun tempatan Malaysia.

“Disenaraikan oleh Apple sangat bermakna bagi saya secara peribadi kerana ia mewakili pengiktirafan daripada syarikat dan ekosistem yang banyak memberikan inspirasi sepanjang perjalanan saya sebagai pembangun.

Beliau berkata Apple sentiasa menetapkan standard yang sangat tinggi dari segi inovasi, kreativiti dan pengalaman pengguna, oleh itu pengiktirafan berkenaan satu penghormatan yang sangat besar.

“Saya berharap ia dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai pembangun di Malaysia untuk lebih yakin mempamerkan hasil kerja mereka, dan menyumbang kepada komuniti pembangun global.

“Bakat ada di mana-mana, termasuk di Malaysia, dan saya percaya pengiktirafan ini menunjukkan bahawa hasil kerja kita juga mampu mendapat perhatian dan penghargaan pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Minat Mohammad Hasif  dalam pembangunan aplikasi bermula pada usia 17 tahun, yang kemudian  mendorong beliau membina projek-projek kecil melalui pembelajaran kendiri dan eksperimen, sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Beberapa tahun kebelakangan ini, beliau membangunkan beberapa aplikasi termasuk Amalan Mukmin, Vacay, Hidayah App, Lylyn App dan Bantu App, dengan sebahagiannya mendapat sambutan baik pada peringkat tempatan, khususnya Bantu App semasa pandemik COVID-19.

Mohammad Hasif turut membantu membangunkan aplikasi Boost Business dari peringkat awal serta antara jurutera perintis di GXBank, bank digital pertama Malaysia, sebelum menyertai Grab untuk membangunkan produk yang digunakan oleh jutaan pengguna di seluruh rantau ini.

Mengimbau perjalanan kerjayanya, beliau berkata antara cabaran terbesar sebagai pembangun adalah menyesuaikan diri dengan industri teknologi yang berkembang pantas.

Beliau juga banyak belajar melalui pembelajaran kendiri, kaedah cuba-cuba serta menyelesaikan sendiri masalah teknikal. 

Mohammad Hasif percaya usahanya dalam memperkukuh komuniti pembangun tempatan turut menarik perhatian Apple, khususnya melalui penubuhan bersama SwiftLah! pada April 2025 sebagai inisiatif komuniti untuk pembangun iOS dan peminat Apple di Malaysia.

Hasil daripada perjumpaan, sesi perkongsian teknikal dan acara jaringan, kumpulan itu yang dahulunya hanya mempunyai tujuh ahli kini berkembang kepada lebih 200 orang.

“Saya rasa Apple menghargai bukan sahaja pembangun yang membina produk, tetapi juga mereka yang menyumbang semula kepada ekosistem, dan membantu mengembangkan komuniti mereka.

“Malaysia mempunyai ramai pembangun berbakat yang mampu membina produk bertaraf dunia. Cabarannya bukan pada bakat, tetapi pendedahan, peluang serta akses kepada platform dan komuniti yang tepat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556727