EKONOMI

PMB Investment Umum Agihan Pendapatan 4.0 Sen Seunit Bagi PMB-An-Nur Waqf Income Fund

14/05/2026 11:00 AM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- PMB Investment Bhd, syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan MARA Bhd, mengumumkan agihan pendapatan 4.00 sen seunit bagi PMB-An-Nur Waqf Income Fund untuk tahun kewangan berakhir pada 30 April, 2026. 

Ini membabitkan jumlah agihan kasar sebanyak RM1.23 juta manakala Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan adalah RM0.7148 dan diselaraskan kepada RM0.6748 selepas agihan, menurut PMB Investment dalam kenyataan hari ini.

“Dana ini telah mencatat pulangan tahunan terlaras sebanyak 5.89 peratus, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu penyelesaian pelaburan berasaskan wakaf bagi pelabur di Malaysia,” menurutnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Hang Tuah Amin Tajudin berkata PMB-An-Nur Waqf Income Fund terus kukuh dan relevan dalam persekitaran pelaburan yang sentiasa berubah dengan prestasi kumulatif lima tahun sebanyak 72.27 peratus atau bersamaan pulangan tahunan purata 14.45 peratus bagi tahun kewangan berakhir 30 April, 2026.

“Melangkah ke hadapan, PMB Investment kekal komited untuk meningkatkan tawaran berasaskan wakaf kami, meluaskan akses kepada seluruh rakyat Malaysia dan memastikan pelaburan beretika terus menghasilkan nilai yang nyata kepada para pemegang unit dan orang ramai," katanya.

PMB-An-Nur Waqf Income Fund merupakan dana amanah saham patuh Syariah yang menerapkan konsep wakaf dalam rangka kerja pelaburannya.

Sebahagian daripada pendapatan dana disalurkan untuk tujuan wakaf, sekali gus membolehkan pemegang unit menyertai pelaburan yang memberi manfaat kepada masyarakat, di samping memperoleh pulangan yang kompetitif.

 Pelabur boleh memulakan pelaburan dengan PMB Investment menerusi EZForm di laman sesawang www.pmbinvestment.com.my manakala dana boleh dipindahkan melalui kemudahan FPX.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556729