EKONOMI

Untung Bersih Public Bank Naik Kepada RM1.75 Bilion Susulan Pinjaman, Deposit Yang Kukuh

14/05/2026 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Public Bank Bhd (Public Bank) meningkat sedikit kepada RM1.75 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026 daripada RM1.74 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, disokong oleh pengembangan berterusan dalam portfolio pinjaman dan depositnya. 

Menurut bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, portfolio pinjaman dan depositnya masing-masing berkembang pada kadar tahunan 5.7 peratus dan 5.3 peratus, dilengkapi dengan pendapatan bukan faedah dan bukan pembiayaan, yang meningkat sebanyak 3.7 peratus. 

Perolehan dicatatkan sebanyak RM1.32 bilion berbanding RM1.31 bilion tahun sebelumnya, manakala pendapatan sesahamnya 9.07 sen berbanding 9.04 sen. 

Sementara dalam kenyataan berasingan, bank itu berkata ia terus mengekalkan kualiti aset dengan nisbah pinjaman terjejas kasar yang rendah sebanyak 0.51 peratus. 

Menurut kenyataan itu, di peringkat domestik, nisbah pinjaman terjejas kasar adalah lebih rendah pada 0.35 peratus, iaitu lebih baik daripada nisbah industri sebanyak 1.40 peratus. 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek berkata kualiti aset kekal berdaya tahan dan lembaran imbangan kekal kukuh, disokong oleh kedudukan modal serta mudah tunai yang teguh. 

“Kumpulan ini mengekalkan kedudukannya dalam industri perbankan domestik, dengan pulangan bersih ekuiti yang memberangsangkan sebanyak 12 peratus, nisbah kos pendapatan paling cekap sebanyak 35.5 peratus,” katanya dalam kenyataan itu. 

Di peringkat domestik, pinjamannya meningkat sebanyak 6.3 peratus tahunan kepada RM427.7 bilion apabila kumpulan itu mengekalkan kehadirannya yang kukuh dalam segmen pembiayaan pengguna runcit utama dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).  

Mengenai pembiayaan PKS domestik, pembiayaan hartanah kediaman, dan pembiayaan sewa beli masing-masing mencapai pertumbuhan tahunan 11.2 peratus, 4.4 peratus dan 8.4 peratus.

Segmen utama itu terus menguasai bahagian pasaran utama yang kukuh masing-masing sebanyak 19 peratus, 20.1 peratus dan 33.1 peratus.

Dari segi pembiayaan, jumlah deposit pelanggan meningkat selaras dengan pertumbuhan pinjaman, mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.3 peratus kepada RM453.1 bilion. 

Deposit pelanggan domestik kumpulan itu turut mencatatkan peningkatan pertumbuhan tahunan 5.1 peratus kepada RM424.4 bilion, terutamanya didorong oleh deposit teras dan deposit pasaran wang.

Kumpulan itu mencatatkan pendapatan bukan faedah dan bukan pembiayaan RM825.9 juta bagi tiga bulan pertama 2026, meningkat 3.7 peratus berbanding tahun lepas, susulan pendapatan unit amanah, perniagaan insurans am dan bankasurans yang lebih tinggi. 

Sementara itu, Public Mutual iaitu syarikat unit amanah milik penuhnya, mencatatkan keuntungan sebelum cukai suku pertama sebanyak RM216.5 juta atau pertumbuhan 4.1 peratus berbanding tahun lepas, merangkumi 9.3 peratus daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan itu. 

Kedudukan modal kumpulan Publik Bank kekal kukuh dengan nisbah modal ekuiti biasa peringkat 1, nisbah modal peringkat 1 dan nisbah jumlah modal masing-masing berada pada 13.7 peratus, 13.7 peratus dan 16.4 peratus, setakat akhir Mac 2026. 

Mengenai mudah tunai, francais deposit kumpulan terus menyokong kedudukan mudah tunai dan pendanaan, seperti yang ditunjukkan oleh nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti kasar sebanyak 84.2 peratus pada akhir Mac 2026. 

Beliau menambah, Public Bank berada dalam kedudukan yang kukuh untuk mengharungi cabaran, termasuk potensi pertumbuhan ekonomi global yang tidak sekata, dengan memanfaatkan asas kukuh bank yang telah lama wujud dan pengurusan yang berhemat.

“Bagaimanapun, memandangkan kumpulan itu terus berwaspada, ia akan kekal tangkas dan berpandangan ke hadapan dalam usaha mencapai pertumbuhan perniagaan yang  bersinergi,” kata Tay. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556943