Daripada Kisho Kumari Sucedaram
BANGKOK, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan menganjurkan Perhimpunan, Persidangan dan Pameran Serantau Asia Pasifik & Asia Barat (RACE) Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) 2027 di Kuala Lumpur.
Ini berikutan majlis penyerahan rasmi hari ini oleh Presiden Lapangan Terbang Thailand Paweena Jariyathitipong dan Ketua Pengarah ACI Asia Pasifik dan Asia Barat Stefano Baronci kepada Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani.
Sebelum ini, MAHB pernah menganjurkan acara utama ACI, termasuk di Kuala Lumpur pada 2009 dan Langkawi pada 2018.
Menurut MAHB, peranan pengendali lapangan terbang itu sebagai tuan rumah pada tahun depan mencerminkan penglibatan yang telah lama terjalin dengan ACI dan sumbangan berterusannya dalam dialog penerbangan serantau dan pembangunan industri.
Katanya, MAHB telah terlibat secara aktif dengan ACI sejak pertengahan 1990-an, dengan perwakilan merentasi lembaga serantau, jawatankuasa teknikal dan kumpulan kerja industri yang merangkumi bidang seperti keselamatan operasi, ekonomi, kemampanan, keselamatan penerbangan, modal insan dan teknologi lapangan terbang.
Mohd Izani berkata persidangan itu menjadi platform penting kepada lapangan terbang di seluruh rantau ini untuk bertukar perspektif dan memperkukuh kerjasama mengenai masa depan penerbangan.
“ACI terus memainkan peranan penting dalam menyatukan komuniti lapangan terbang global untuk mengatasi peluang dan cabaran bersama merentasi ekosistem penerbangan.
“Ini merupakan peluang bukan sahaja untuk mempamerkan keupayaan ketersambungan dan penerbangan Malaysia, tetapi juga untuk menyumbang secara bermakna kepada perbincangan masa depan lapangan terbang, terutamanya dalam bidang seperti kemampanan, daya tahan operasi, teknologi dan pengalaman penumpang,” katanya.
Dalam pada itu, persidangan selama tiga hari yang berlangsung dari 12 hingga 14 Mei di sini, menghimpunkan kira-kira 500 pemimpin lapangan terbang dan pihak berkepentingan penerbangan daripada seluruh rantau ini bertujuan membincangkan daya tahan, kemampanan, ketersambungan dan pertumbuhan masa depan industri.
-- BERNAMA