KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Pelbagai program libat urus akan diadakan di seluruh negara mulai 21 Mei ini, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-80 MIC, bagi menggalakkan penyertaan daripada ahli parti serta orang awam, kata Presiden parti Tan Sri S A Vigneswaran.
Beliau berkata ia merangkumi program berorientasikan keluarga, kem perubatan, aktiviti sukan, pertandingan pidato dan sesi dialog terbuka, yang akan kemuncak sambutan di ibu negara pada 26 Julai.
“Sambutan ini bukan sahaja untuk memperingati sejarah parti, malah menjadi peluang untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat India secara lebih meluas di samping mengetengahkan sumbangan serta peranan MIC dalam pembangunan negara sejak sekian lama,” katanya pada sidang media mengenai sambutan berkenaan hari ini.
Vigneswaran berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran politik dan organisasi selama bertahun-tahun, MIC terus berkhidmat kepada masyarakat sepanjang lapan dekad penubuhannya.
Beliau berkata MIC telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan termasuk bantuan pendidikan, program perubatan, pengagihan bantuan makanan serta usaha sokongan sosial.
Menurut beliau, MIC kekal relevan sebagai platform politik yang mewakili kepentingan dan aspirasi masyarakat India di Malaysia.
“Pemimpin dan ahli MIC perlu terus menunjukkan komitmen serta keazaman dalam memperkukuh parti. Penyertaan golongan muda termasuk ahli daripada sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC amat penting kerana mereka merupakan pelapis kepimpinan masa depan parti,” katanya.
-- BERNAMA