AM

Bahagian Belakang Dewan SMK Putrajaya Presint 14 (1) Terbakar

14/05/2026 09:14 PM

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Bahagian belakang dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14 (1) di sini dilaporkan terbakar petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14, Penolong Penguasa Bomba Dianty Hussain berkata kebakaran tersebut melibatkan kerusi dan meja yang disimpan di bahagian belakang pentas dewan dengan anggaran keluasan yang terbakar kira-kira 12 x 50 kaki persegi.

"Kita menerima panggilan pada 6.10 petang tadi dan dengan kekuatan 12 anggota, api dapat dikawal sepenuhnya pada 6.30 petang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi.

Beliau berkata kebakaran itu tidak melibatkan mana-mana mangsa kerana sesi persekolahan telah tamat. 

"Ketika itu sudah habis sesi sekolah dan tindakan pantas ibu bapa yang berada di kawasan sekolah membantu mengawal keadaan dengan menghalang pelajar mendekati kawasan terbakar hinggalah kami selesai membuat kerja-kerja pemadaman," katanya.

Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557087