PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) melaksanakan pendekatan intervensi yang lebih menyeluruh dan bersepadu merentasi sektor darat, udara dan maritim bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara meskipun berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global yang semakin mencabar.
MOT menerusi hantaran di Facebook rasmi kementerian itu hari ini memaklumkan fokus utama pendekatan berkenaan adalah untuk melindungi kebajikan pengguna, memperkukuh daya tahan sistem logistik negara serta memastikan kelancaran pergerakan barangan dan rakyat secara berterusan.
Usaha ini turut diperkukuh melalui kerjasama erat dengan operator pengangkutan utama, pihak berkuasa berkaitan serta pemain industri bagi meredakan impak kos operasi dan memastikan akses mobiliti rakyat kekal mampan serta mampu milik.
“MOT kekal bersedia dan responsif dalam mendepani cabaran global demi mendukung aspirasi Malaysia MADANI yang inklusif dan berdaya tahan,” menurut hantaran itu.
Bagi sektor darat, MOT memaklumkan kementerian itu komited mengurangkan beban kos sara hidup dengan menggalakkan peralihan kepada pengangkutan awam melalui pelbagai inisiatif, termasuk potongan tambang 30 peratus bagi perkhidmatan ETS dan Ekspres Rakyat Timuran kendalian Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) pada Isnin hingga Khamis.
Selain itu, penjimatan turut ditawarkan menerusi Pas My50, Pas Rapid Kota dan Pas Rapid Keluarga manakala pengguna ERL pula menikmati diskaun sehingga 40 peratus melalui MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam dan pekerja industri penerbangan.
Menurut MOT, fungsi Grab Group Ride turut diperkenalkan bagi membolehkan pengguna menikmati penjimatan sehingga 40 peratus, selain menawarkan perjalanan lebih efisien serta kaedah pembayaran yang fleksibel dan mudah.
Bagi sektor udara pula, MOT memaklumkan intervensi strategik dilaksanakan untuk meminimumkan impak gangguan penerbangan global, termasuk menerusi peruntukan RM5 juta bagi rebat tiket laluan domestik dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi tempoh Mei hingga Jun 2026.
Kementerian itu turut memaklumkan tempoh kredit bayaran fi selama 60 hari dan pengecualian caj parkir pesawat diteruskan bagi membantu meringankan beban syarikat penerbangan.
Selain itu, MOT memaklumkan penangguhan caj Passenger Boarding Bridge (PBB) dan Common Infrastructure Charges (CIC) selama dua bulan dilaksanakan bagi memastikan kestabilan aliran tunai industri penerbangan.
Dalam sektor maritim, MOT memaklumkan langkah proaktif turut diambil bagi memastikan rantaian bekalan ekonomi tidak terjejas akibat kenaikan kos bahan api dunia.
Antara langkah yang dilaksanakan, termasuk pengalihan kontena kosong ke depoh luar bagi memberi keutamaan kepada pengendalian kontena bermuatan, selain kawalan surcaj bahan api bagi feri penumpang dan perkhidmatan roro menerusi penetapan siling harga maksimum yang terkawal.
MOT turut mengeluarkan garis panduan kepada pihak berkuasa pelabuhan bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi alternatif pelabuhan yang berdaya tahan.
-- BERNAMA