GAYA HIDUP

Immersify KL Bawa Tarikan Berasaskan Pengalaman Ke Ibu Negara

15/05/2026 02:39 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Pengalaman hiburan dan seni digital berteraskan teknologi kini semakin menjadi pilihan penduduk bandar serta pelancong yang mencari aktiviti lebih interaktif dan berasaskan pengalaman.

Seiring dengan trend itu, Immersify KL yang terletak di Bukit Bintang, mengukuhkan kedudukannya sebagai ruang seni media digital dan juga platform pelbagai guna untuk acara hiburan, pelancaran jenama dan inisiatif kreatif berasaskan teknologi.

pic-2

Berkeluasan 30,000 kaki persegi, lokasi imersif itu menampilkan gabungan teknologi  tayangan digital dari Korea Selatan, instalasi visual berskala besar serta sistem bunyi spatial 360 darjah, sekali gus menawarkan pengalaman sensori yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.

Pengarah Pertumbuhan Immersify KL Muhamad Hasif Nasrudin berkata konsep itu membolehkan pengunjung berasakan mereka benar-benar berada di dalam persekitaran visual yang dinamik tanpa memerlukan peranti realiti maya.

pic-3

“Pengunjung bukan sekadar melihat visual, tetapi mengalami sendiri perasaan berada di dalam ruang itu. Inilah yang membezakan seni media imersif berbanding galeri konvensional,” katanya pada pameran ‘Spectrum of Possibilities’ baru-baru ini.

Muhamad Hasif berkata daripada 14 zon yang tersedia, beberapa daripadanya turut menggabungkan elemen alam semula jadi dan hidupan liar sebagai usaha membawa identiti tempatan ke dalam pengalaman digital moden.

pic-4

Dalam usaha memperkukuh peranannya sebagai destinasi pelancongan bandar bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, Immersify KL turut memperluas kerjasama merentasi sektor pelancongan, hospitaliti dan pengangkutan bagi meningkatkan aksesibiliti serta pengalaman pengunjung.

Venue itu juga terus mendapat perhatian sebagai pilihan utama bagi pelancaran berskala besar, produksi hiburan dan inisiatif jenama imersif.

pic-5

Terbaharu, Immersify KL mengumumkan kerjasama bagi meneroka pengalaman sinematik imersif, termasuk integrasi beberapa judul filem terpilih seperti Malam Terlarang, Keluang Man dan Polis Evo ke dalam ruang pengalaman digitalnya.

Menerusi gabungan seni digital, teknologi dan pengalaman interaktif, Immersify KL mencerminkan perubahan landskap hiburan dan pelancongan kreatif di Kuala Lumpur yang kian beralih ke penawaran berasaskan pengalaman.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557324