JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pelajar Politeknik Bebas Tuduhan Edar 3,404 Gram Kanabis

15/05/2026 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas pelajar politeknik daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 3,404 gram (3.4 kilogram), dua tahun lepas.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutusan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Harith Izzuddin Mohd Hanizam, 23, di akhir kes pendakwaan.

Azhar ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mendapati terdapat kebergantungan pihak pendakwaan dalam keterangan saksi pendakwaan keempat (SP4) iaitu pengadu yang juga pegawai polis untuk membuktikan elemen pemilikan. 

"Keterangan saksi itu penuh syak wasangka kerana dia tidak bercakap benar mengenai apa yang berlaku selepas tertuduh dan barang-barang kes (dadah) dibawa ke balai polis selepas tangkapan.

“Mahkamah mendapati SP4 bukan seorang saksi yang boleh dipercayai. Oleh itu, saya memutuskan pendakwaan gagal membuktikan elemen milikan," katanya sambil menambah tiada keterangan langsung yang dikemukakan untuk menimbulkan bahawa berlaku elemen pengedaran.

Azhar berkata SP4 mendakwa dia sentiasa berada di balai polis semasa soal siasat dilakukan terhadap tertuduh namun keterangan SP5 iaitu pegawai penyiasat dalam laporan polis yang dikemukakan pihak pembelaan membuktikan sebaliknya.

"Oleh itu, saya memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh, dengan ini tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan dihadapi," katanya.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Rabu lepas (13 Mei).

Harith Izzuddin didakwa mengedar dadah itu di kawasan sebuah lobi hotel di Jalan Kuching Batu Caves di Sentul di sini pada 26 Feb 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Harith Izzuddin.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557399