IPOH, 15 Mei (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini hari ini bagi menunaikan solat Jumaat bersempena Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa dan Khutbah Jumaat Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55.
Ketibaan Sultan Nazrin pada 1.05 tengah hari disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM) Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
Usai solat Jumaat, Sultan Nazrin berkenan bersalaman dengan para jemaah sebelum berangkat pulang.
Terdahulu, Mohd Azam mengetuai warga pendidik dan guru menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk “Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera”, yang juga buat julung-julung kalinya KPPM membacakan khutbah di masjid tersebut.
Antara pengisian khutbah itu adalah guru diumpamakan penyambung risalah Rasulullah SAW, selain merupakan insan mulia yang sangat besar jasanya kepada masyarakat.
Mohd Azam ketika membacakan khutbah berkata negara menetapkan tarikh 16 Mei untuk sambutan Hari Guru bertujuan menghargai jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang diabadikan oleh guru dalam memenuhi tanggungjawab fardu kifayah bagi mendidik, membimbing dan mengasuh anak didik mereka.
Beliau berkata sambutan itu juga menghormati peranan guru membina insan berilmu dan bertakwa sehingga menjadi khazanah berharga kepada agama, bangsa serta negara.
"Rasulullah SAW membetulkan kesalahan tanpa memalukan, menegur tanpa merendahkan dan mendidik tanpa mematahkan jiwa. Lembut pada masanya dan tegas pada tempatnya.
"Pendekatan Rasulullah SAW merupakan kaedah didikan berhikmah, selaras dengan ayat 125 surah An-Nahl yang khatib baca pada awal khutbah, lalu berjaya melahirkan manusia yang sejahtera dunia dan akhirat," katanya.
Terdahulu, Jabatan Pendidikan turut menganjurkan program pengimarahan masjid di sini melibatkan 2,000 pelajar dan warga pendidikan membabitkan program motivasi kerohanian murid serta bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat.
Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II Abd Farid Salleh mengetuai bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat sebelum azan Jumaat.
Sultan Nazrin memperkenankan 625 warga pendidik dan guru di negeri ini untuk menyampaikan khutbah Jumaat hari ini bersempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun.
-- BERNAMA