KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar keputusan kerajaan pada 2023 untuk mengecualikan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun.
NGO berkenaan ialah Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Pertubuhan Green Lung Malaysia dan Voice of the Children.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman berkata mahkamah berpuas hati bahawa pemohon berjaya membuktikan keputusan kerajaan untuk memberikan pengecualian itu, yang didorong terutamanya oleh faktor ekonomi sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] berkuat kuasa pada 1 Okt 2024, adalah tidak rasional.
Ketiga-tiga NGO memfailkan permohonan itu pada 30 Jun 2023 bagi mendapatkan deklarasi bahawa Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023, khususnya klausa bertarikh 31 Mac 2023 yang mengecualikan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun, adalah suatu pelaksanaan kuasa yang tidak rasional.
Mereka juga memohon deklarasi bahawa pengecualian itu diperkenal tanpa rundingan sewajarnya dan mencukupi dengan Lembaga Racun sekali gus menjadikan keputusan tersebut ultra vires Seksyen 6 Akta Racun 1952.
Menyentuh mengenai isu rundingan dengan Lembaga Racun, Aliza berkata responden (Menteri Kesihatan ketika itu dan kerajaan) berhujah bahawa Akta Lembaga Racun [Akta 366] tidak memperinci kaedah yang diperlukan, justeru perkataan “rundingan” perlu ditafsir dalam konteks fungsi Lembaga Racun di bawah Seksyen 3 akta berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa rundingan dengan Lembaga Racun di bawah Seksyen 6 akta berkenaan bukan sahaja mandatori malah ia perlu, seperti dihujahkan oleh pemohon, bersifat sedar, bermakna, mempunyai tujuan dan berkesan.
Dalam kes ini, hakim itu berkata tiada sebarang pertemuan fizikal antara Menteri Kesihatan dengan Lembaga Racun.
“Rundingan yang didakwa berlaku di sini hanyalah pematuhan secara formal terhadap Akta 366 sedangkan rundingan berkesan memerlukan pertukaran pandangan dan pertimbangan terhadap cadangan balas.
“Secara mudahnya, ia seperti sudah diputuskan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos selepas peguam K. Shanmuga memaklumkan bahawa pemohon tidak menuntut kos kerana kes ini melibatkan litigasi kepentingan awam.
Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan hadir bagi pihak kedua-dua responden.
-- BERNAMA