AM

Festival Agro MADANI Peladang@NAFAS Mall Perkasa Usahawan, Produk Tempatan

16/05/2026 04:02 PM

MUAR, 16 Mei (Bernama) -- Penganjuran Festival Agro MADANI Peladang@NAFAS Mall oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mampu memperkukuh aspek pemasaran produk keluaran tempatan serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata festival itu juga membantu rakyat mendapatkan hasil tani segar dengan diskaun hingga 30 peratus selain inisiatif Kombo Jualan Agro MADANI pada harga RM15.

“Inisiatif ini bukan sahaja menghidupkan ekosistem agromakanan tempatan malah menjadi platform penting membawa hasil keluaran peladang, penternak dan petani terus kepada pengguna.

“Peranan peladang bukan sekadar menghasilkan bekalan makanan tetapi turut membantu menjamin kestabilan bekalan makanan negara dalam mendepani pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim dan peningkatan kos pengeluaran,” katanya.

Chan berkata demikian selepas merasmikan Festival Agro MADANI Peladang di NAFAS Mall Muar, di sini yang turut dihadiri Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin.

Beliau berkata kerajaan komited dalam memperkukuh ekosistem pertanian negara melalui pelbagai bentuk sokongan termasuk pemerkasaan teknologi, akses pasaran, pembangunan usahawan dan pengukuhan rantaian nilai industri agromakanan.

Chan turut memuji langkah NAFAS menjalin kerjasama strategik dengan Pasaraya Megamart bagi memperluas pasaran produk keluaran jenama PELADANG melalui rangkaian pasar raya moden.

Sementara itu, Muhammad Faris berkata beberapa produk PELADANG seperti minuman 3 dalam 1, santan dan sardin telah mula dipasarkan di rangkaian Pasaraya Megamart melalui kerjasama strategik dengan pasar raya itu. 

Beliau berkata NAFAS Mall yang mula beroperasi pada April 2012 kini antara pusat aktiviti ekonomi komuniti di kawasan itu dengan menempatkan 23 penyewa termasuk Pasaraya Megamart, Mr. D.I.Y, KFC, guardian dan Mixue.

Terletak di laluan utama Muar-Melaka, pusat komersial itu turut dirancang untuk diperluas dengan konsep busana Melayu, dewan pelbagai guna dan aktiviti komuniti pada masa akan datang.

Festival dua hari bermula hari ini antara lain melibatkan Jualan Agro MADANI, promosi produk PELADANG, sesi taklimat produk NAFAS dan pelancaran Buku Panduan Pembajaan: Tanaman Agrokomoditi dengan Baja Peladang.

Festival itu mendapat kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ); Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Muar, Tangkak dan Segamat; Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM); Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar serta Pasaraya Megamart.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557865