AM

PDC, Kerajaan Negeri Berdepan Implikasi Kewangan Besar Jika Teruskan Tawaran IJM-Aspen - Chow

16/05/2026 04:43 PM

GEORGE TOWN, 15 Mei (Bernama) -- Keputusan untuk tidak meneruskan tawaran konsortium IJM-Aspen bagi Request for Proposal (RFP) 2024 melibatkan pembangunan tanah seluas 559 ekar di kawasan Ladang Byram/Changkat dibuat selepas mengambil kira implikasi kewangan besar yang berpotensi ditanggung oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata antara implikasi itu ialah keperluan supaya PDC menyediakan infrastruktur utama untuk disambung ke projek dicadangkan, yang dianggarkan menelan kos sekitar RM150 juta.

Beliau berkata penender turut memohon pemberimilikan tanah secara pegangan kekal yang melibatkan premium dianggarkan RM144 juta selain penyediaan kawasan kuari di Batu Kawan dengan opportunity cost kira-kira RM25 juta.

"Di samping itu, penender turut memohon First Right of Refusal ke atas baki tanah PDC seluas kira-kira 500 ekar (202.34 hektar) selain mencadangkan perubahan struktur pegangan saham dan pindah milik tanah tanpa keperluan mendapatkan persetujuan PDC... ia tidak boleh diterima kerana menyentuh soal kawalan pemilikan strategik tanah negeri serta risiko spekulasi dan flipping hartanah.

“Apabila diambil kira keseluruhan kos dan implikasi tersebut, nilai bersih sebenar yang akan diterima oleh PDC hanyalah sekitar RM500 juta, bukannya RM818 juta seperti yang digambarkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Chow berkata nilai tawaran semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran utama dalam menentukan kejayaan sesuatu tender kerana pematuhan kepada syarat utama RFP merupakan prasyarat wajib yang tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata tawaran konsortium IJM-Aspen dalam RFP 2024 didapati gagal mematuhi lima daripada sembilan syarat utama ditetapkan PDC termasuk berkaitan syarat pembangunan, pegangan hak milik tanah, kaedah pindah milik tanah, kaedah pembayaran Guaranteed Profit Sharing dan beberapa syarat tambahan lain.

Chow berkata keputusan untuk tidak meneruskan rundingan itu selaras dengan amalan tadbir urus baik dan pematuhan prosedur operasi standard RFP PDC kerana syarat utama RFP gagal dipatuhi.

Sehubungan itu, beliau berkata alasan RFP 2025 tidak diteruskan oleh konsortium Kwest Sdn Bhd-Kerjaya Prospek Group Bhd ialah kerana terdapat beberapa perubahan daripada syarat utama tender yang tidak dipatuhi dan tuntutan tambahan oleh pihak petender.

Justeru, Chow berkata Lembaga PDC memutuskan untuk tidak meneruskan RFP 2025, dan membuka semula proses tender baharu demi memastikan kepentingan perbadanan itu dan kerajaan negeri terus terpelihara.

“Keputusan ini juga penting bagi menjamin konsistensi dalam pelaksanaan dasar, mempertahankan integriti institusi dan mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap tadbir urus PDC.

“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa pembatalan RFP 2025 tidak menyebabkan sebarang kerugian langsung kepada PDC kerana tiada kos pembangunan telah ditanggung oleh PDC manakala tanah berkenaan masih kekal dimiliki oleh kerajaan negeri dengan PDC sebagai pihak berkepentingan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557878