BANGKOK, 16 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terlepas peluang ke final selepas tewas kepada wakil India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada perlawanan separuh akhir Terbuka Thailand hari ini.
Pasangan di ranking kesembilan dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan sebelum terpaksa akur kepada gandingan keempat dunia dengan 21-19, 20-22, 16-21 dalam pertemuan yang penuh dramatik.
Jurulatih beregu profesional negara itu Ameer Amri Zainuddin berkata kedua-dua pemain telah mempamerkan aksi terbaik mereka apabila menguasai set pertama, namun tidak dapat mengekalkan momentum itu hingga menyebabkan mereka tewas pada dua set berikutnya.
“Kita sebenarnya mempunyai sedikit kelebihan kerana bermain melawan arah angin pada set kedua, namun mereka terlalu ghairah untuk menamatkan perlawanan dan pasangan India berjaya memanfaatkan keadaan itu,” katanya kepada Bernama selepas tamat perlawanan separuh akhir di Stadium Nimibutr, di sini.
Bagaimanapun, Ameer Amri berkata walaupun kalah, pencapaian ke separuh akhir kali ini memberikan suntikan semangat kepada anak buahnya untuk bangkit pada Masters Malaysia, minggu depan.
Sementara itu, Sze Fei ketika ditemui mengakui aspek konsistensi masih perlu dipertingkatkan, terutama dalam set penentuan selepas mereka terlalu banyak melepaskan mata pada awal permainan.
“Kami kehilangan terlalu banyak mata pada awal set penentuan dan ia sedikit menjejaskan fokus ketika cuba mengejar semula kedudukan,” katanya.
-- BERNAMA