AM

Peruntukan Perolehan Kerja KPM Dinaikkan Daripada RM400 Juta Kepada RM900 Juta - PM

16/05/2026 06:32 PM

IPOH, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan menaikkan peruntukan perolehan kerja untuk Kementerian Pendidikan (KPM) daripada RM400 juta kepada RM900 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia antara lain bagi membiayai pembinaan bilik darjah tambahan dalam menghadapi peningkatan kemasukan murid ke Tahun 1 mulai tahun depan.

“… saya katakan dulu peruntukan RM400 juta pembinaan 2,500 buah bilik darjah tambahan bagi lebih 800 buah sekolah dalam Belanjawan 2026... jadi, bagi memastikan ruang bilik darjah bagi darjah satu (mencukupi), kerajaan meluluskan tambahan peruntukan.

“Jadi, saya umumkan bahawa kerajaan meluluskan peruntukan tambahan daripada RM400 juta yang diumumkan sebelum ini kepada RM900 juta untuk 6,000 buah bilik darjah,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan ketika hadir pada majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalannya, Wong Kah Woh.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan komited menyokong kontraktor kecil Bumiputera dengan peruntukan perolehan kerja diselaraskan semula dalam mendepani krisis bekalan global.

“Pengumuman pada Belanjawan 2026 ialah sebanyak RM2.4 bilion khusus untuk kontraktor kecil G1 hingga G4... jumlah ini dinaikkan kepada RM4 bilion untuk tahun 2026 melalui penyelarasan semula peruntukan kerajaan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kontraktor kecil yang menunjukkan prestasi baik akan terus ditawarkan projek untuk membolehkan mereka terus berkembang.

“Tapi saya minta jaminan kontraktor-kontraktor kecil ini supaya berikan dan laksanakan (projek) sebaik mungkin.

“Saya sekadar boleh menyatakan kalau prestasi baik, mengikut unjuran prestasi yang dikehendaki, saya akan berikan tumpuan yang lebih, membantu saudara-saudara supaya tidak kekal selama-lamanya kontraktor kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata walaupun berdepan krisis bekalan global, perbelanjaan untuk sektor penting dan kritikal tidak dikurangkan malah dipertimbangkan ditambah mengikut keperluan termasuk dalam sektor pendidikan.

“Pertamanya, saya nak sebut bahawa ada pandangan yang begitu bila kita kurangkan perbelanjaan... ada mengatakan kita tidak memberikan tumpuan kepada perkara kebajikan dan kesihatan... jangan cepat menghukum sebelum tahu fakta.

“Biarlah saya sebut, agihan ini sentiasa diagihkan... projek-projek tambahan ini bukan dikurangkan, ada diberi di mana kita harus memberikan tumpuan,” katanya.

Pada majlis itu, Anwar menyerahkan 100 SST kepada kontraktor bagi pembinaan bilik darjah tambahan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557938