AM

Tekanan Media Sosial, Isu Tular Jejas Emosi Guru - JKM

17/05/2026 10:36 AM

KOTA BHARU, 17 Mei (Bernama) -- Profesion perguruan kini semakin mencabar dalam era digital apabila guru bukan sahaja berdepan tugas pengajaran dan pentadbiran, malah tekanan media sosial serta isu tular yang boleh menjejaskan emosi dan kesihatan mental golongan itu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata perkembangan teknologi dan media sosial menyebabkan guru lebih terdedah kepada tekanan psikologi susulan pelbagai isu melibatkan sekolah mudah menjadi perhatian umum.

Beliau berkata situasi itu memerlukan sokongan emosi dan psikologi yang lebih menyeluruh bagi membantu guru menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.

“Selain mengajar, guru juga perlu mengurus pelbagai perkara termasuk masalah disiplin pelajar, urusan pentadbiran dan juga persepsi masyarakat di alam digital,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Che Samsuzuki berkata walaupun isu tugas guru berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM), JKM turut memainkan peranan membantu dari aspek kebajikan dan kesejahteraan mental golongan pendidik.

Beliau berkata JKM menyediakan khidmat sokongan psikologi dan kaunseling menerusi pegawai kaunselor serta pembantu kaunselor di setiap daerah bagi membantu kes melibatkan tekanan emosi, trauma serta kecemasan.

“Jika terdapat guru yang memerlukan sokongan atau intervensi emosi, JKM bersedia membantu melalui khidmat kaunseling yang disediakan.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak sekolah dan KPM dalam membantu murid yang mengalami masalah sosial atau emosi supaya tekanan terhadap guru dapat dikurangkan,” katanya.

Che Samsuzuki berkata masyarakat perlu lebih memahami cabaran dihadapi guru pada masa kini dan tidak mudah membuat penilaian terhadap sesuatu isu yang tular di media sosial tanpa mengetahui keadaan sebenar.

“Golongan pendidik juga manusia biasa yang memerlukan sokongan emosi dan ruang untuk terus menjalankan amanah mendidik generasi masa depan,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2558054